Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Kesedaran pengguna mengenai kepentingan baja organik dalam aktiviti pertanian semakin meningkat.

Faktor kesihatan menjadi punca ramai yang beralih arah kepada bahan yang mesra alam ini.

Baja organik adalah baja yang berasaskan kepada bahan semula jadi tanpa meninggalkan sebarang kesan memudaratkan.

Kebaikan baja organik adalah meningkatkan nutrien tanah, menggalakkan kegiatan mikrob, memperbaiki ciri tanah, menjimatkan masa dan mesra alam.

Kebanyakan pengguna mengambil jalan mudah dengan mendapatkan baja organik terdapat di pasaran, padahal kaedah pembuatan baja organik amat mudah untuk dihasilkan.

Teknik pembuatan baja organik dikongsikan Penolong Pegawai Pertanian, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, Kuala Selangor, Nur Wahidah Hambali.

Formulasi baja mesra alam itu dipertontonkan sempena 'Program Jom Ke Ladang Geng Kebun Sayur' di Kebun Cili Off Kem Mapetra, Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat, baru-baru ini.

Program itu anjuran bersama Jawatankuasa Pelaksana Program Jom Ke Ladang Geng Kebun Sayur di ladang usahawan rock melon, Saipul Nizam Ibrahim.

Dengan bantuan suami, Nur Wahidah menunjukkan demonstrasi pembuatan tiga jenis baja organik.

Menerusi program itu, peserta berpeluang menyalin resepi baja organik untuk diaplikasikan kepada penggunaan seharian.

Malah bahan asas yang digunakan juga amat mudah dan boleh diperoleh di persekitaran rumah seperti sayur, buah serta ikan.

Menggunakan cara satu nisbah satu, setiap bahan asas itu dicampurkan secara berselang-seli bersama gula merah.

Tiga baja organik yang dihasilkan adalah MOL pucuk sayuran, buahan dan ikan (baja organik untuk tanaman).

Mudah dikendalikan, setiap MOL dimasukkan ke dalam botol sebelum ditandai pen penanda dan kain penutup.

Nur Wahidah berkata, MOL adalah singkatan 'Mikro Organisme Lokal' yang dimanfaatkan untuk pertanian organik dan semi organik.

"Baja organik ini menggunakan bahan semula jadi berasaskan bahan tempatan.

"Bahan yang digunakan juga mudah diperoleh," katanya.

MOL pertama katanya menggunakan semua pucuk sayuran, batang dan umbut pisang yang mempunyai unsur galium dan hidraulik asid.

"Kesan penggunaan baja cairan MOL pucuk sayuran ini menjadikan pokok membesar dan hijau," katanya kaedah pembuatan MOL buah dan sayur juga sama.

Unsur kalium yang tinggi dalam MOL buah katanya sesuai untuk meningkatkan bilangan bunga pada tanaman.

"MOL ikan mengandungi kadar nitrogen dan asid amino yang dapat menguatkan putik bunga, daun hijau dan berkilat.

"Setiap lima mililiter cecair MOL dapat menghasilkan seliter air untuk digunakan dua kali seminggu," katanya.

Penggunaan baja organik katanya berbeza daripada baja kimia daripada aspek warna, struktur dan rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM