ANGGOTA forensik PDRM menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO Junaidi Ladjana
ANGGOTA forensik PDRM menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Tiga kenderaan mewah rosak selepas dibaling tujuh molotov cocktail oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali di ruang parkir banglo di Jalan Merkas Tua, Likas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, ketiga-tiga kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, Toyota FJ Cruiser dan Toyota Prado rosak di bahagian belakang.

Difahamkan, ketika kejadian pemilik rumah berkenaan bersama tujuh ahli keluarganya sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu sebaik terdengar beberapa bunyi letupan kuat.

Menyedari kejadian itu, pemilik segera keluar untuk memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.

Pemeriksaan mendapati, tiga kenderaan yang diparkir rosak akibat dibaling tujuh bom molotov cocktail yang mana hanya lima sahaja meletup.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika ditemui di lokasi kejadian berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Sepasukan anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:14 AM