BARISAN pelakon yang terbabit dalam pementasan Ombak Rindu.
Ridzuan Abdul Rahman


Teater Ombak Rindu...Tiada Penghujung yang dipentaskan di Istana Budaya bermula 22 April lalu hingga 1 Mei nanti bukanlah cerita yang diambil daripada novel Ombak Rindu karya asal Fauziah Ashari yang kemudian difilemkan dan berjaya mencatat kutipan pecah panggung.

Sebaliknya teater arahan A Aris Kadir dan diterbitkan oleh CTRA Production ini hanya meminjam semangat filem yang dibarisi pelakon hebat iaitu Maya Karin, Aaron Aziz, Lisa Surihani, Bront Palarae dan Julia Ziegler.

Penulis skripnya, Rosminah Tahir berjaya menyuntik satu nafas baru yang dilihat bagaikan kesinambungan kepada penamat cerita filem arahan Osman Ali itu.

Menerusi teater ini, penonton disajikan dengan pelbagai konflik yang memfokuskan kepada Hariz dan Izzah serta turut membabitkan watak lain iaitu Mila Amylia, Hazira, Armand, Elin, Salleh, Syamyl dan ramai lagi.

Pembukaan teater ini menampilkan Hariz dan Izzah yang bertindak sebagai pencerita terhadap kisah yang bakal ditonton.

Hariz dan Izzah berkahwin serta menjalani kehidupan rumah tangga yang bahagia. Izzah kemudian mengandung dan Hariz berjaya mengetuai syarikat Sufiah Holding serta mendapat liputan di akhbar.

Ia turut dibaca oleh Taha, bapa saudara Izzah yang juga seorang kaki judi. Taha berhasrat menumpang kesenangan Izzah dan mendekati pasangan ini dengan menyamar sebagai pemandu.

Dalam pada itu, Salleh pula mencemburui abangnya Hariz dan mengidamkan jawatan sebagai pemilik Sufiah Holding.

Izzah diugut, diculik dan dikatakan mati ketika cuba melarikan diri. Hariz sedih, namun, dia bertemu dengan Suri, seorang gadis kampung yang seiras Izzah.

Dia akhirnya menjadikan Suri pengasuh anaknya, Armand hasil perkahwinannya dengan Mila Amylia. Suri pula kecewa kerana tunangnya Syamyl tidak hadir pada majlis pernikahan mereka.

Mila Amylia pula cemburu dan ingin menjaga Armand manakala Salleh bertindak mengacau Suri pula kerana mahu membolot saham Izzah di Sufiah Holding.

Dia juga berjaya mengahwini Hazira, adik angkat Hariz. Konflik demi konflik dilalui dan berjaya mewujudkan suasana cemas serta membuai emosi penonton.

Bagaimanapun, mereka perlu terlebih dulu mengenali dan memahami setiap watak agar tidak terkeliru dengan cerita yang disampaikan.

Daripada aspek lakonan, Keith Foo dan Uqasha Senrose dilihat berusaha menjiwai watak yang ditampilkan. Dengan tempoh pementasan yang masih berbaki seminggu, mereka pasti akan dapat membawa watak dengan baik dan menemui keserasian diantara satu sama lain.

Nad Zainal dan Zaidi Omar pula turut membantu menghidupkan cerita ini biarpun muncul hanya untuk beberapa babak.

Selain faktor itu, aspek penataan cahaya dan rekaan set yang menarik turut menjadi elemen penting yang menambah kekuatan Ombak Rindu...Tiada Penghujung.

Sentuhan Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebagai Pengarah Muzik turut memantapkan lagi teater ini.

Ombak Rindu...Tiada Penghujung menampilkan barisan pelakon popular iaitu Keith Foo, Uqasha Senrose, Izzue Islam, Karl Shafek, Nonny Nadirah, Nad Zainal, Ariz Forteen, Ameer Forteen dan Zarina Zainoordin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:51 AM