MENUNGGU giliran untuk memulakan latihan.
MENUNGGU giliran untuk memulakan latihan.
PESERTA sedang melakukan latihan di Trek BMX Gua Damai, Batu Caves.
PESERTA sedang melakukan latihan di Trek BMX Gua Damai, Batu Caves.
PESERTA menjalani latihan di Trek BMX Gua Damai, Batu Caves.
PESERTA menjalani latihan di Trek BMX Gua Damai, Batu Caves.
Siti Farahiyah Aziz

Penggunaan basikal BMX sangat popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekitar tahun 80-an dan 90-an. Namun, ketika itu ia hanya dilihat sebagai aktiviti riadah bagi golongan berkenaan di sekitar kediaman mereka.

Bagaimanapun, pada 2013, situasi penggemar basikal BMX sudah berbeza apabila Kelab BMX Selangor ditubuhkan untuk mencungkil bakat golongan yang berminat terhadap sukan basikal BMX seawal usia empat tahun.

Sejak penubuhannya pada 2013, penggemar basikal BMX mula menunjukkan minat dan kebolehan mereka dengan beraksi bersama kelab di Trek BMX Selayang Permai dan Gombak Permai. Mutu pengadilan dan reka bentuk trek yang relevan menjadi faktor keberkesanan gerak kerja kelab itu.

Sehingga kini terdapat pelbagai kejohanan serta program yang disertai oleh kelab berkenaan. Antaranya ialah Bengkel Asas BMX 2014, Development BMX Siri 1 hingga 6 2015, Kejohanan Merdeka Race 2015, Kejohanan Novice BMX 2016 dan Kejohanan BMX Siri 1 Selangor pada baru-baru ini.

NILAI TAMBAH BAGI REMAJA

Exco Kerajaan Negeri Selangor Amirudin Shari berkata, dalam dunia sekarang, bakat hanya salah satu perkara tetapi selebihnya nilai tambah yang perlu dicari sendiri oleh atlet dan jurulatih.

“Mereka bukan saja perlu ada pengetahuan berkenaan bidang diceburi tapi termasuk pemahaman mengenai sains sukan serta pengurusan.

“Penganjuran kem ini untuk melatih jurulatih dan pendedahan BMX kepada atlet baru. Pada masa sama mereka akan mengetahui dan celik maklumat mengenai sebab sesuatu perkara dilakukan seperti latihan serta penjagaan pemakanan,” katanya.

Menurutnya, kem itu juga adalah asas penting kepada kelahiran atlet yang membabitkan pendedahan mengenai teknik, peraturan dan sebagainya.

PEMBANGUNAN MANUSIA

Selain memfokuskan kelahiran atlet baru, kem ini juga satu galakan kepada golongan muda mengisi masa terluang dengan aktiviti yang diminati dan berfaedah.

Amirudin berkata, dia percaya ini adalah salah satu aktiviti sihat yang secara tidak langsung sebagai penyelesaian memenuhi minat mereka.

“Golongan muda berkemungkinan tidak meminati aktiviti atau program tertentu, namun berbeza dengan BMX yang selain menjadi atlet terdapat tempat berkumpul yang baik disediakan untuk mereka beraktiviti.

“Oleh itu, secara tidak langsung mereka dapat bergaul dengan rakan sebaya dan dapat mengelak daripada masalah sosial,” katanya.

KELAHIRAN ATLET BMX

Penasihat Kelab BMX Selangor Nazali Talib (Pok Li) berkata, buat masa ini kelab lebih menumpukan kepada persediaan atlet untuk Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal diadakan pada Julai ini.

“Walaupun fokus terhadap persediaan SUKMA, aktiviti dan program anjuran kelab masih berjalan seperti yang dirancang kerana latihan sangat penting dalam sukan BMX ini.

“Selain itu, di samping penyertaan golongan muda, kami turut menggalakkan mana-mana ibu bapa yang berminat dengan sukan BMX boleh turut serta kerana ia salah satu pendorong kepada anak dan sukan berkeluarga,” katanya yang juga jurulatih BMX.

KUMPULAN SASARAN SUKAN BMX

Pok Li berkata, kelab tidak menetapkan sebarang had umur untuk menyertai sukan BMX kerana selain melahirkan atlet, kelab turut menyediakan kursus kejurulatihan.

“Namun begitu, kanak-kanak seawal umur sembilan tahun sudah boleh menyertai BMX sebagai persediaan menjalani latihan untuk apa-apa pertandingan.

“Kelab juga menggalakkan pelumba basikal menjalani kelas asas BMX dengan silibus yang betul dan diiktiraf serta mengumpulkan setiap pelumba dan jurulatih BMX bagi tujuan perkongsian maklumat dan info kejohanan trek kelab,” katanya.

Selain itu, di samping mencapai sasaran pencarian lumba basikal BMX bertaraf antarabangsa, kelab turut menyediakan ketahanan mental dan emosi pelumba serta jurulatih bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 11:05 AM