Caj perkhidmatan penumpang dikenakan Malaysia adalah yang terendah di rantau ini. - Foto Fail/Reuters
Caj perkhidmatan penumpang dikenakan Malaysia adalah yang terendah di rantau ini. - Foto Fail/Reuters
BERNAMA

Kuala Lumpur: Caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang sebelum ini dikenali sebagai cukai lapangan terbang mungkin dinaikkan dalam semakan akan datang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata, kenaikan itu seiring dengan pengumuman Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bahawa syarikat penerbangan yang beroperasi di luar Malaysia dijangka membayar sehingga 10 kali ganda bagi bayaran dikenakan.

"Kerajaan satu-satunya pihak yang akan memutuskan kadar kenaikan itu," katanya selepas pengumuman pelan perniagaan lima tahun MAHB 'Runway to Success 2020 (RtS2020)' di sini, hari ini.

Badlisham berkata kadar itu, yang paling rendah di rantau ini, akan memberi situasi sama menang kepada industri penerbangan kerana membolehkan keperluan infrastruktur dibangunkan kerajaan.

“Kami boleh mengawal apa yang berada di lapangan terbang dan dalam pesawat, namun kami tidak dapat kawal semakan oleh kerajaan, iaitu ruang udara," katanya.

Semakan terakhir pada 2011 dan selepas itu kerajaan mengekalkan caj perkhidmatan penumpang RM65 untuk penumpang antarabangsa manakala penumpang domestik RM9 bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kerajaan akan menyemak semula kadar caj perkhidmatan penumpang bagi setiap lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:58 PM