ALBUM kedua adunkan pelbagai rentak antaranya balada, pop dan menyelitkan elemen hip hop.
ALBUM kedua adunkan pelbagai rentak antaranya balada, pop dan menyelitkan elemen hip hop.

Teman Pengganti, Mana Mungkin, Si Putih Si Merah dan Takkan Terpisah bukan lagi melodi asing buat penggemar muzik Malaysia.

Lagu popular lantunan vokal mantap Black ini kerap kali dimainkan di stesen radio dan boleh dikatakan mudah melekat di hati pendengar.

Selepas hampir lima tahun tidak muncul dengan album, Black kini muncul dengan album keduanya berjudul Black.

“Album pertama saya yang diberi judul Obsesi dikeluarkan pada 2011. Alhamdulil­lah, tiga single daripada album itu iaitu Aku Rindu Sayang Kamu, Sofea Jane dan Leia berjaya memperkenalkan nama saya kepada industri muzik.

“Kini, saya mengumpulkan single yang seterusnya dan saya muatkan dalam album kedua ini,” katanya.

Album ini mengambil masa yang agak lama disebabkan Black sendiri mahukan kualiti dalam penghasilan hasil kerjanya.

“Pemilihan lagu sebenarnya mengambil masa yang agak lama. Lagipun, saya tidak mahu kalau terlalu awal keluarkan album, tetapi kualitinya tidak memuaskan.

“Album ini sepatutnya dikeluarkan pada tahun lalu, namun disebabkan jadual saya yang padat dengan penyertaan dalam program Juara Parodi dan sebagainya, saya tunda ke tahun ini,” katanya lagi.

Menurut Black, walaupun lagu dalam album baru ini kebanyakannya sudah pernah didengar, namun dia yakin, masih ramai lagi yang menginginkan album berbentuk fizikal.

“Ya, ramai yang lebih selesa memuat turun lagu menerusi medium atas talian. Namun, saya yakin, masih ramai yang inginkan album fizikal untuk simpanan. Jadi, ini saya jadikan hadiah buat peminat saya,” katanya.

Bertanya mengenai keunikan album yang mengambil namanya sebagai judul ini, Black punya jawapannya.

“Untuk album Black, ditampilkan empat trek bonus versi karaoke untuk lagu Teman Pengganti, Mana Mungkin, Si Putih Si Merah dan Takkan Terpisah. Selain itu, turut dimuatkan lagu Teman Pengganti versi secara langsung yang dirakamkan di Anugerah Juara Lagu ke-27,” katanya.

Tidak bersendirian, Black berkolaborasi bersama beberapa penampilan khas untuk beberapa trek popular antaranya Malique untuk lagu Teman Pengganti dan RJ (Si Putih Si Merah).

Jika dilihat dari sudut konsep muzik dan genre, album Black mengadunkan pelbagai rentak antaranya balada, pop dan menyelit­kan elemen hip hop.

Album Black semestinya sesuai dengan mereka yang punya jiwa bukan sahaja dari segi rentak muzik, tetapi juga lantunan seni kata indah ciptaan penulis lirik hebat antaranya, Ajai, Kunci Demak, Syamsul Cairel dan Malique.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 5:41 AM