ALEXANDER beri panduan mudah memilih minuman jus buah.
ALEXANDER beri panduan mudah memilih minuman jus buah.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Pernahkah anda melihat seseorang berdiri lama di depan rak minuman ringan khususnya minuman buah-buahan? Mungkin kebanyakan kita berfikir apa yang hendak direnungkan, ambil sajalah minuman kegemaran yang boleh menghilangkan dahaga.

Namun bagi orang yang prihatin, pemilihan minuman ringan berunsur buah-buahan ini sangat penting. Minuman buah-buahan dan minuman jus buah-buahan dua produk yang berbeza.

Bagaimana membezakannya? Ini persoalan yang sering ditanya. Menyedari ramai yang masih keliru, Marigold Peel Fresh, syarikat pengeluar minuman baru-baru ini mengadakan sesi dialog bagi mendidik masyarakat cara membuat pilihan bijak.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Marigold Peel Fresh Michael Ong, kebanyakan orang menganggap dua jenis minuman ini sama dan tidak tahu perbezaan antara minuman yang diletakkan di rak dengan yang ditempatkan di bahagian dingin.

Perunding pemakanan yang dijemput dalam sesi dialog berkenaan, Alexander Prabaharan memberitahu, ada beberapa cara mudah untuk mengetahui kandungan dalam minuman jus buah-buahan. Sekali imbas, kedua-duanya nampak sama tetapi ia berbeza dari segi kandungan.

Katanya, minuman buah-buahan mengandungi tidak kurang daripada lima peratus jus buah sedangkan minuman jus buah-buahan mengandungi tidak kurang daripada

35 peratus jus buah. Ia melalui proses pempasteuran yang membantu mengekalkan khasiat pemakanan dan kesegaran semula jadinya.

Ada tiga cara mudah dan praktikal untuk mengenal pasti minuman jus buah berpasteur:

1. Lihat tulisan ‘Minuman Jus Buah’ pada label.

2. Oleh kerana minuman berpasteur adalah segar maka ia akan diletakkan di peti sejuk atau bahagian dingin bagi mengelakkannya rosak.

3. Lihat pada tarikh luputnya. Minuman jus buah mempunyai tarikh luput yang lebih pendek berbanding minuman buah-buahan yang diletakkan di rak biasa atau bahagian dingin.

Selain membincangkan khasiat dalam minuman jus buah, Prabaharan turut menunjukkan cara menyediakan minuman moktel menyegarkan dan mengandungi vitamin serta pelbagai khasiat yang diperlukan setiap hari.

“Sesetengah buah-buahan yang kaya antioksidan seperti beri, manggis dan lobak ungu biasanya bermusim atau perlu diimport. Jadi ia sukar untuk dibeli dan biasanya mahal. Atas sebab itulah lebih mudah untuk kita mendapatkan khasiat buah-buahan dan sayur-sayuran ini dalam bentuk jus. Cara yang paling mudah ialah membeli minuman jus buah untuk menikmati kebaikannya.

“Jadi, selepas anda mengetahui cara memilih minuman yang enak dan berkhasiat, buatlah pembelian bijak supaya setiap sen yang dibelanjakan itu berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 5:00 AM