RITA Rudaini. FOTO fail NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: “Apa yang saya perjuangkan selama ini bukan untuk kepentingan sendiri tetapi juga hak anak-anak saya juga," kata pelakon Rita Rudaini, 40, selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan bekas suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak membayar nafkah tertunggak sebanyak RM68,530, semalam.

Rita berkata, keputusan itu bukan sahaja rezeki untuknya bersama anak-anak sebaliknya adalah hak yang sepatutnya diterima selepas bercerai tiga tahun lalu.

"Bagi saya, perkara ini boleh selesai dengan cara baik sekiranya dia dari awal lagi menjalankan kewajipan dan tanggungjawabnya. Jangan salahkan saya jika pihak mahkamah memerintahkan dia membayar jumlah itu kerana ia adalah hak saya sebagai isteri yang diceraikan,” katanya.

Rita memfailkan tuntutan nafkah tertunggak itu pada 14 Disember 2013 selepas dia dan Aidil bercerai pada Ogos 2013.

Tuntutan itu merangkumi perbelanjaan makan minum, bil utiliti, pakaian dan sewa rumah.

"Walaupun tuntutan awal saya lebih tinggi tetapi saya tetap berpuas hati dengan apa diterima. Saya bukannya nak duit, tetapi nak buktikan hak dan keadilan. Tidak kisah berapa banyak saya terima kerana itu adalah hukum dan tanggungjawab.

"Apa yang penting segala tuduhan yang dia dan keluarganya lemparkan kepada saya di mahkamah, jelas membuktikan saya tidak bersalah. Itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 7:45 PM