Ganja dan pil eramin 5 yang dirampas daripada penuntut IPT. FOTO ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan bersama ganja seberat 1.02 kilogram di depan pasar raya di Seri Iskandar, dekat sini awal pagi tadi.

Pemuda berusia 22 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu ditahan pada 2.45 pagi dan turut dirampas daripadanya adalah 19 biji pil eramin 5 selain wang tunai RM472.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abd Rahim Hanafi berkata, tangkapan yang dibuat adalah hasil maklumat awam dan ujian saringan air kencing juga mendapati penuntut terbabit positif dadah.

"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah berjaya menahan pelajar terbabit dalam kereta di depan premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui ketulan mampat yang dipercayai dadah jenis ganja di bawah tempat duduk pemandu dan pemeriksaan lanjut turut menemui 19 biji pil eramin 5 yang dianggarkan seberat 5.22 gram," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Sambutan Ulang Tahun ke-46 Kor Kadet Polis Peringkat Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 12:18 PM