Satu daripada rumah yang rosak dipukul ribut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Satu daripada rumah yang rosak dipukul ribut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Sebanyak 19 rumah di enam kampung mengalami kerosakan terutama pada bumbung akibat diterbangkan angin dalam kejadian ribut, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, kebanyakan penduduk berada dalam rumah ketika angin kencang berlaku disertai hujan renyai.

Antara kawasan terbabit ialah Kampung Pisang, Kampung Padang Nyior, Kampung Padang Gelanggang, Kampung Tanjung Kiri, Kampung Tanjung Kanan dan Kampung Lubuk Labi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap, Staf Muda Roshidi Che Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8 malam dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, lima anggotanya dihantar ke lokasi untuk membantu penduduk kampung mengangkat zink dan kayu yang berterbangan di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi membantu penduduk berakhir pada jam 10 malam tadi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 12:42 PM