Wan Ahmad Najmuddin sahkan remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan kerana hina TMJ di FB. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan polis, awal pagi tadi, selepas disyaki membuat komen berunsur hinaan terhadap Institusi Diraja Johor di laman sosial Facebook (FB), 24 April lalu.

Lelaki yang juga penganggur itu ditahan kira-kira 3 pagi di rumahnya di Kampung Palas, Tumpat, Kelantan.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, komen berunsur menghina Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu dipercayai dimuat naik dalam FB 'TRW Troll Story' menggunakan akaun FB bernama 'Miyo Castelo'.

"Suspek dipercayai pemilik akaun atas nama 'Miyo Castelo' dikesan memuat naik komen di FB yang menghina TMJ.

"Kita mengambil tindakan dan dengan bantuan polis di Tumpat, kita berjaya menahannya bagi membantu siasatan.

"Suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini di Tumpat, namun saya sudah mengarahkan anggota polis untuk mengambilnya dan bawa pulang ke Johor Bahru untuk siasatan lanjut," katanya ketika sidang media selepas Pertandingan Menembak antara Media Johor dan Polis Kontinjen Johor sempena Peringatan Hari Polis ke-209 di Lapang Sasar Ladang Rem di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 2:48 PM