Legenda tinju Filipina Manny Pacquiao (Getty Image) dan Kris Aquino bersama anak-anaknya (Instragram Kris Aquino Instagram)
AP

Manila: Selain menculik legenda tinju Filipina Manny Pacquiao, kumpulan Abbu Sayyaf yang terkenal dengan menculik untuk tebusan juga merancang menculik adik perempuan Presiden Filipina yang popular sebagai personaliti televisyen malah turut mengancam membunuh presiden negara itu.

Selepas tebusan rakyat Kanada dipenggal kumpulan itu Isnin lalu, Presiden Filipina, Benigno Aquino berkata Abu Sayyaf merancang menculik juara tinju dunia kelas pertengahan itu serta adik perempuannya.

Presiden itu berkata, Abu Sayyaf juga merancang meletupkan bom di bandar raya Manila bagi mendapatkan wang untuk disumbangkan kepada kumpulan Negara Islam (IS) tetapi rancangan itu berjaya dipatahkan tentera Filipina.

Aquino berkata, militan Abu Sayyaf yang menampilkan diri sebagai pejuang Islam sebenarnya penjenayah yang menumpu kepada kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan.

“Malah mereka turut merancang menculik Manny Pacquiao atau anaknya serta adik saya, Kris, atau anaknya yang akan digunakan bagi rundingan pembebasan ahli mereka.

“Ancaman membunuh saya sedang disiasat,” katanya.

Difahamkan militan Abu Sayyaf yang kini diperintah Radulan Sahiron mengelilingi baki lebih 20 tebusan lagi, termasuk empat rakyat Malaysia bagi menyukarkan tentera Filipina menyerang.

“Keadaan itu juga mewujudkan peluang untuk menghapuskan Abu Sayyaf. Kematian (kemungkinan tebusan) perlu dijangka dalam operasi ini,” katanya yang menegaskan tentera Filipina amat terlatih dan bersenjata lengkap bagi mengelak kematian tebusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 6:24 PM