KEKALAHAN Kien Keat, Boon Heong bermakna mereka gagal ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Kuala Lumpur: Kekalahan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di tangan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (ABC) semalam bermakna berakhirnya impian mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Kien Keat-Boon Heong perlu sekurang-kurangnya muncul juara di ABC namun wakil Jepun itu meranapkan impian mereka apabila tumpas 13-21, 18-21 di Wuhan, China.

Menurut jurulatih mereka Lee Wan Wah, sudah tentu beliau dan anak buahnya kecewa dengan keputusan semalam namun Kien Keat-Boon Heong sudah mencuba yang terbaik.

“Paling penting mereka sudah berusaha keras dan sekarang kehidupan mesti diteruskan, termasuk mempersiapkan mereka menjelang aksi Piala Thomas di Kunshan bulan depan.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menyenaraikan Kien Keat-Boon Heong,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kien Keat-Boon Heong gagal menggunakan kesempatan terbaik apabila pasangan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tersingkir awal di pusingan pertama kelmarin.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei akan menggalas cabaran solo negara di ABC apabila menjadi satu-satunya wakil tunggal mara ke suku akhir selepas menumpaskan wakil Hong Kong, Vincent Wong 23-21, 21-12.

Hari ini dia berdepan pilihan keenam dari Taiwan, Chou Tien Chen yang sebelum itu mengalahkan Takuma Ueda dari Jepun 21-18, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 6:57 AM