SEDUTAN rakaman kamera keselamatan menunjukkan orang ramai membantu tiga pelancong yang pengsan selepas dipukul.
SEDUTAN rakaman kamera keselamatan menunjukkan orang ramai membantu tiga pelancong yang pengsan selepas dipukul.

Bangkok: Polis Thailand semalam menahan dua lelaki tempatan yang disyaki membelasah tiga beranak warga Britain termasuk seorang wanita hingga pengsan.

Dua lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kerana disyaki membelasah sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka di bandar Hua Hin pada Rabu lalu.

Ketua polis Hua Hin, Chaiyakorn Sriladecho berkata, kejadian berpunca apabila anak lelaki pasangan berkenaan yang berusia 43 tahun terlanggar seorang suspek yang mabuk.

Suspek yang berang cuba menumbuk lelaki berkenaan, tetapi dihalang oleh bapa mangsa yang berusia 68 tahun.

“Bagaimanapun, muncul pula tiga lagi lelaki yang kemudian bertindak membelasah ketiga-tiga mangsa,” katanya.

Satu rakaman kamera keselamatan di lokasi berkenaan yang tersebar di Internet menunjukkan ketiga-tiga mangsa dibelasah hingga terbaring tidak sedarkan diri.

Lebih kejam lagi, seorang suspek dilihat menumbuk pelancong wanita itu sebelum menendang mukanya sehingga mangsa rebah.

Chaiyakorn memberitahu, dua lelaki itu mengalami luka di kepala manakala pelancong wanita berkenaan lebam di muka dan badan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 7:26 AM