Mangsa dibantu sebelum dibawa ke HSB. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini

Batu Kawan: Tiga lelaki bersenjatakan parang menetak lelaki yang juga pemandu teksi dalam kejadian di bawah Jejambat Lebuh Raya Casia, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.50 malam itu, pemandu teksi terbabit dalam perjalanan membawa seorang penumpang lelaki ke kawasan kilang di sini.

Difahamkan, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa diarah berhenti oleh penumpang berusia20-an berkenaan, kononnya untuk merokok.

Sumber berkata, sejurus berhenti, penumpang berkenaan membuat panggilan telefon sebelum dua motosikal ditunggang tiga lelaki berparang datang ke arahnya.

Katanya, mangsa diserang tiga suspek berkenaan dan ketika bergelut dia ditetak beberapa kali di bahagaian badan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berkenaan kemudian melarikan diri termasuk penumpang lelaki berkenaan yang dipercayai bersekongkol dengan suspek.

Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) bagi menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan masih menyiasat motif mangsa diserang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 12:34 PM