Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akthar Aziz berjumpa dengan wakil media selepas mesyuarat yang panjang hari ini, sebelum bersara mulai esok. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akthar Aziz berjumpa dengan wakil media selepas mesyuarat yang panjang hari ini, sebelum bersara mulai esok. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan bersara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, keluar dari mesyuaratnya yang panjang untuk menemui media, dua hari sebelum menamatkan tugasnya sebagai gabenor wanita pertama BNM dan yang ketujuh negara.

Pada jam 7.35 malam tadi, Zeti yang memakai baju kurung biru tersenyum dan melayani media selama lima minit di bank pusat berkenaan.

"Saya masih mengemas barang saya di pejabat. Enam belas tahun punya barang," katanya.

Ditanya perasaan beliau, Zeti berkata: “Saya sangat fokus. Saya akan lakukan apa yang perlu saya lakukan. Malangnya saya tidak mempunyai masa untuk bertemu semua kakitangan saya dan salam tiap seorang dan berterima kasih dengan sokongan mereka."

Zeti yang bersara pada 30 April dipilih sebagai seorang daripada ketua bank pusat terbaik dunia oleh majalah Global Finance pada 2009.

Anak perempuan Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid dan tokoh budaya Allahyarham Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, beliau menyertai BNM pada 1985 sebagai Timbalan Pengurus di Jabatan Ekonomi.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai gabenor pada 2000 menggantikan Tan Sri Ali Abul Hassan Suleiman, menjadikan Zeti wanita pertama memegang jawatan berkenaan.

Sebelum itu, antara 1979 dan 1984, Zeti berkhidmat dengan Pusat Penyelidikan dan Latihan Seacern sebagai Penyelidik Ekonomi.

Beliau akan digantikan Datuk Muhammad Ibrahim pada 1 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 10:00 PM