SEMPAT bermanja dengan landak.

Nurul Husna Mahmud

[email protected]

DI luar kotak, itu dilakukan sekumpulan pelajar dari Universiti Antarabangsa UNITAR apabila memilih Zoo Negara sebagai lokasi untuk melakukan khidmat sosial.

Berbanding rakan mereka yang berkolaborasi dengan rumah kebajikan mahupun menggembirakan golongan memerlukan, 33 pelajar ini lebih teruja mendalami alam fauna.

Tidak lari daripada objektif asal iaitu mahu menyemai kesedaran terhadap melindungi haiwan terutama spesies terancam, mereka giat berbakti sepanjang berada di taman haiwan itu.

Mahu pelajar sedar peranan

Menurut pensyarah Universiti Antarabangsa UNITAR Haysriq Thomeeran meskipun ia memenuhi keperluan subjek Khidmat Sosial, impak sebenar ialah sejauh mana pelajar memahami peranan mereka.

“Tidak dinafikan ini antara keperluan subjek untuk mereka tamat pengajian. Tetapi perkara saya nilai ialah perkara tersirat yakni sejauh mana pelajar ini menyedari kepentingan sumbangan mereka menerusi kerja sosial ini.

“Saya gembira apabila mendengar impak perbentangan mereka menyebut betapa seriusnya kepupusan berlaku pada haiwan seperti badak sumbu Sumatera dan berharap perkara itu tidak terjadi pada spesies lain di Malaysia.

“Jadi di sini mereka sedar peranan mereka tidak saja membersihkan kandang dan memberi makan, tetapi juga mendidik orang lain menerusi informasi diperoleh,” katanya.

Pengalaman paling berharga

Sukarelawan berasal dari Kuching, Sarawak Fedrick Sibek berkata, dia sangat berpuas hati dapat terbabit dalam kerja komuniti berkenaan.

“Saya berpuas hati kerana ia pengalaman yang orang lain sukar peroleh. Jadi boleh saya katakan ia peluang baik kerana ia bukan perkara biasa dan selalunya dilakukan oleh sukarelawan lain.

“Malah bagi saya pe­ngalaman itu sendiri mahal. Ada satu ketika, ketika saya ditugaskan membersihkan kandang lembu jantan dari Afrika, saya dimaklumkan kaki lembu berkenaan dalam proses pemulihan dan ia diasingkan.

“Lembu itu mudah stress dan ketika saya menyapu tiba-tiba lembu itu seperti ingin menyerang. Nasib baik ada petugas zoo di sebelah dan menenangkan lembu berkenaan. Meskipun detik itu cemas, ia pengalaman yang bermakna,” katanya.

Kendali rasa takut, fobia haiwan

Bagi Ketua Kumpulan Nurul Ain Firdaus, selain dapat membantu pihak zoo serta haiwan, kerja komuniti ini dilihat terapi baik untuk mengendali perasaan fobia terhadap haiwan.

“Teruja, itulah yang dapat saya katakan mengenai peluang melakukan kerja sosial di Zoo Negara. Ini bukanlah biasa dan tentu saja ia sangat bermakna.

“Malah dalam kerja sosial ini, saya ditugaskan di kawasan reptilia. Tentu saja perasaan geli dan takut.

“Tetapi sebaik mula kerja rasa seronok apabila kita dapat tahu mengenai tabiat serta habitat haiwan berkenaan.

“Itu membuat kita berasa selesa selain berpuas hati apabila kandang tempat haiwan ini bersih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 2:00 AM