Rudy Imran Shamsudin


Pengaruh watak Disney seperti Cinderella yang bergaun kembang menghadiri majlis keramaian di istana membuatkan umum mengaitkan ia sebagai gaya mewah.

Tambahan pula, sejak lagi pakaian seperti itu sering digayakan keluarga diraja di Eropah apabila menghadiri acara keramaian dan formal.

Bagi menghasilkan gaun kembang ini, kebiasaannya pereka akan memilih fabrik mewah perincian agar mereka yang menyarungnya mampu mencuri tumpuan.

Gaun kembang biasanya akan membuatkan mereka yang mengayakannya kelihatan menawan.

Potongan di bahagian atas melekap tubuh memberikan kesan lebih langsing kepada si pemakai.

Selain menyerlahkan keayuan, gaun kembang yang melitupi hingga ke hujung jari kaki menyembunyikan kasut tumit tinggi dipakai, membolehkan si pemakai kelihatan lampai.

Jadi tidak hairanlan mengapa setiap kali acara karpet merah, terutama bertemakan ‘black-tie’ atau formal, selebriti wanita lebih gemar memilih busana ini.

Kebiasaannya pereka akan memilih asas fabrik berwarna lembut bagi menimbulkan efek ayu kepada si pemakai, walaupun ia penuh corak seperti yang digayakan Ella.

Pendatang baru, Ruhainies memilih busana dihasilkan daripada fabrik satu warna dan dilapisi dengan renda perancis.

Sulaman di bahagian lengan membawa ke pinggang berbeza tona merah seperti apa yang gayakan Shima Anuar dan perincian jambangan bunga bawah gaun dipakai Nad Zainal menampilkan kelainan dari sudut kreativiti.

Tidak mahu penampilan Amyra Rosli terlalu sarat kerana gaun kembang dipakai sudah berat dengan warna perak, hiasan jemeki hanya ditampilkan pereka pada bahagian atas dan pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 6:58 AM