Muhammad Apendy Issahak


Sitiawan: Seorang anggota polis berusia 36 tahun dan tiga lagi lelaki, ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan menyebabkan seorang lelaki cedera dipercayai akibat ditembak di Ladang Sitiawan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Selangor, dikatakan bergaduh dengan sekumpulan lelaki akibat perselisihan faham.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, anggota polis berkenaan mendakwa diserang sekumpulan lelaki kerana perselisihan faham dan ketika kejadian, dia mendakwa beberapa das tembakan dilepaskan pihak yang menyerang.

"Siasatan mendapati seorang lelaki dimasukkan ke Hospital Manjung dipercayai cedera ditembak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, lelaki yang cedera ditembak itu kini dilaporkan stabil dan polis kini menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Menurutnya, setakat ini mangsa dalam kes cubaan bunuh ini adalah anggota polis terbabit manakala lelaki yang cedera dipercayai daripada kumpulan lelaki yang bergaduh dengan mangsa.

“Anggota polis berkenaan dan tiga lagi suspek berusia 20-an hingga 30-an ditahan dan direman lima hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 5:58 PM