X
Afdlin dan Lisa nyata sokongan terhadap Kamil untuk ubah industri perfileman tanah air. FOTO NSTP
Afdlin dan Lisa nyata sokongan terhadap Kamil untuk ubah industri perfileman tanah air. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Sebahagian artis dan penggiat filem tanah air menyatakan sokongan kepada Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman berikutan isu surat yang dihantar Pengerusi Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) Datuk Jurey Latiff Rosli kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak mengenai Surat Perakuan Penggambaran (SSP) dan Wajib Tayang yang didakwa disalah guna Kamil.

Antara yang menyokong Kamil ialah pengarah, pelakon dan pelawak, Afdlin Shauki, Lisa Surihani, Sharifah Amani, Nadia Aqilah dan Syafie Naswip.

Mereka menyatakan sokongan dengan meletakkan hashtag #KamiSokongKamil dan #KekalkanKamil di laman sosial Instagram masing-masing.

Afdlin ketika dihubungi berkata, dia menyokong Kamil atas perubahan yang dilakukannya dalam industri perfileman tanah air sebelum ini dan yakin Kamil mampu mengubahnya ke arah yang lebih baik.

"Saya berkata begini kerana saya mengenalinya sejak beberapa tahun lalu dan dia memang seorang yang berjiwa besar dalam seni, muzik dan filem," katanya.

Afdlin juga berharap kerajaan dapat melanjutkan kontrak Ketua Pengarah Finas kepada lebih dari dua tahun.

"Dalam tempoh dua tahun, mungkin tidak banyak idea yang dapat direalisasikan. Mungkin kerajaan juga perlu melihat perkara ini. Ketua-ketua Pengarah FINAS sebelum ini juga bersemangat untuk membantu industri filem, namun tidak sempat untuk direalisasikan," katanya.

Gafim sebelum ini membangkitkan beberapa isu dalam surat rasmi yang dihantar antaranya Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dan Wajib Tayang di bawah kendalian Finas yang dikatakan disalah guna oleh Kamil.

Sementara itu, Kamil ketika dihubungi berkata, pihaknya amat menghargai sokongan daripada penggiat filem tanah air dan sentiasa menghormati pandangan dan cadangan mereka.

"Finas tidak pernah mempengaruhi sesiapa atau campur tangan dalam setiap keputusan yang dibuat.

"Kita percaya perkara yang dibangkitkan ini pastinya dapat diselesaikan secara diplomasi dan harmoni," katanya.

Dalam pada itu, Jurey berkata, beliau tiada sebarang isu atau niat negatif terhadap Kamil dan Finas mengenai isu terbabit.

Apa yang disampaikannya melalui surat itu ialah pandangannya sebagai salah seorang penggiat filem.

"Saya tidak mahu memanjangkan hal ini. Apa yang saya lakukan bukanlah serangan secara peribadi atau apa, tetapi lebih kepada untuk bersama-sama memajukan industri, katanya.

Jurey berkata, dia akan berjumpa dengan Kamil dalam masa terdekat ini bagi menyelesaikan kemelut ini secara diplomasi.

Dalam masa sama, Jurey turut menyifatkan sokongan yang diberikan mereka terhadap Kamil adalah petanda positif dalam industri filem tempatan.

"Ini adalah sesuatu yang positif. Selama ini sukar untuk kita lihat penggiat filem bersatu. Apabila timbulnya isu begini, kita dapat melihat pihak terbabit boleh bersatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 4:49 PM
Digital NSTP Subscribe