MOHD Ali Hanafiah (tujuh dari kanan) bersama kakitangan di hadapan menara telekomunikasi yang menggunakan Sistem Solar Hidrogen Hibrid.
Shahrinnahar Latib

Rompin: Syarikat teknologi hijau, Solar NRJ Sdn Bhd (Solar NRJ) berjaya membangunkan Sistem Solar Hidrogen Hibrid yang mampu mengecas sendiri tenaganya untuk menjana elektrik kepada menara telekomunikasi.

Sistem mesra alam yang pertama di Asia itu mampu menggantikan teknologi sedia ada iaitu menggunakan generator dan bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengarah Teknikal Solar NRJ Joseph Koh berkata, sistem itu dibangunkan sejak setahun lalu dengan kos RM500,000 terbahagi kepada dua sistem iaitu solar dan hidrogen hibrid bagi menjana elektrik.

“Bagi sistem solar, baterinya hanya perlu dicaj selama enam jam dan boleh digunakan sehingga enam hari, jika tiada cahaya matahari sistem hidrogen hibrid akan beroperasi secara automatik.

“Sistem hidrogen hibrid akan menggantikan sistem solar sehingga cahaya matahari kembali mengecas bateri solar, maksudnya bekalan elektrik tidak akan terputus kepada menara telekomunikasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Sistem Solar Hidrogen Hibrid di Kampung Bangkong, dekat sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Sektor Komunikasi, Perkhidmatan Digital dan Piawaian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, sistem digunakan di menara telekomunikasi milik Digi Telecommunications Sdn Bhd di sini sejak sebulan lalu itu menunjukkan prestasi baik dan diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada syarikat sekali gus meningkatkan liputan kepada masyarat.

“Saya yakin syarikat telekomunikasi akan berpuas hati dengan sistem itu kerana ia dapat menjimatkan kos operasi selain tidak perlu melakukan pemantauan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali Hanafiah berkata, sistem berkenaan dibangunkan menggunakan geran kerajaan dalam membangunkan teknologi hijau untuk sektor telekomunikasi.

“Sistem ini mampu mengurangkan kos operasi jika dilaksanakan secara menyeluruh walaupun perbelanjaan permulaan agak tinggi.

“Mungkin di kawasan pedalaman ia sangat efektif digunakan kerana tidak memerlukan penyelenggaran kerap dan mudah dikendalikan, kita mungkin perluaskan sistem kepada menara telekomunikasi lain pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 6:54 AM