ORANG ramai melihat kereta yang musnah dalam serangan bom, semalam.

Baghdad: Sebuah kereta dipenuhi bahan letupan meletup di Baghdad, semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang Syiah terbunuh ketika menghadiri upacara keagamaan.

Kumpulan Daish mengaku melakukan serangan itu dalam satu kenyataan di Internet, kononnya dilancarkan pengebom berani mati. Bagaimanapun, pihak berkuasa menafikan dakwaan berkenaan.

Seorang pegawai polis berkata, kereta berkenaan diletakkan di kejiranan Saydiyah dan meletup sejurus waktu tengah hari (waktu tempatan).

Sekurang-kurangnya 18 maut dan 45 cedera, katanya.

Seorang pegawai perubatan mengesahkan jumlah mangsa cedera dan maut.

Serangan itu berlaku sehari selepas dua bom kereta meletup di bandar Samawah, selatan Iraq, menyebabkan sekurang-kurangnya 31 maut dan 52 cedera dalam kejadian turut didakwa dilakukan Daish. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 9:27 AM