SANDRA (tengah) dan barisan artis terbabit ‘mash up’ tahun ini.

Penyanyi muda meningkat naik, Sandra menganggap tawaran berkolaborasi dengan Hunny Madu menerusi ‘Mash Up’ lagu Hello vs Hey Kau adalah peluang keemasan yang sukar dilepaskan sekali gus mengukuhkan lagi karier seninya. Bagi Sandra, dia juga mengganggap tawaran itu adalah pengalaman baru yang perlu digunakan sebaik-baiknya.

“Saya sangat gembira dan teruja dengan kolaborasi ini. Meskipun, Hunny sudah lama bergelar penya­nyi dia tetap profesional dan menyenangkan.

“Hunny banyak membantu saya sepanjang kami bekerjasama dalam ‘mash up’ ini. Kami juga akan me­nyampaikan ‘mash up’ lagu Hello vs Hey Kau pada 9 Mei ini dan lagu berkenaan akan dimainkan di stesen Hot FM dan Fly FM.

“Saya gembira dan sangat teruja. Selepas lagu Hey Kau mendapat sambutan, tidak sangka pula kedua-dua radio ini sudi menggunakan lagu saya untuk dijadikan ‘mash up’. Diharap peluang ini akan menjadi platform untuk saya lebih mencipta nama dan terus dikenali,” katanya selepas pelancaran ‘mash up’ berkenaan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Program Rangkaian Radio Media Prima Chew Hui Ee berkata, pihaknya akan meneruskan lagi program ‘mash up’ itu berdasarkan sambutan yang menggalakkan sejak kemunculan program itu tahun lalu.

“Kami gembira dengan sambutan yang diterima daripada pendengar. Tidak sangka mereka semuanya menyukai gabungan ‘mash up’ ini. Malah, sambutan terhadap ‘mash up’ pertama tahun lalu begitu menggalakkan kerana itulah kami meneruskannya lagi pada tahun ini.

“Lebih menarik lagi, ‘mash up’ kali ini turut mendapat tajaan daripada Nescafe Ready-To-Drink (RTD),” katanya.

‘Mash up’ pada tahun lalu menampilkan gabungan artis seperti Dayang Nurfaizah dan Najwa Mahiadin, Black dan Ronnie Hussin, Amir Jahari dan Raihan, Akim dan Stacy serta Ella dan Bunkface.

Pada tahun ini ditampilkan gabungan daripada Ippo Hafiz dan Mark Adam, Hunny Madu dan Sandra serta Ali Aiman dan Sona One.

Pemilihan pendatang baru, Ali Aiman juga dibuat oleh Nescafe kerana popularitinya di laman sosial.

Program ‘mash up’ akan bermula pada hari ini, 9 dan 16 Mei di stesen radio Hot FM serta Fly FM bermula jam 7.30 pagi. - Syanty Octavia Amry

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 10:10 AM