AHMAD Shabery menyenduk makanan kepada penduduk.
AHMAD Shabery menyenduk makanan kepada penduduk.
SEBAHAGIAN pengusaha dan peniaga kecil menerima sumbangan.
SEBAHAGIAN pengusaha dan peniaga kecil menerima sumbangan.
Mohamad Hussin


“Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kerana memberi bantuan peralatan membuat kuih.

“Sebagai peniaga kecil, sumbangan ini mampu meringankan beban kami,” kata Salina Abd Rahman, 51, yang mengusahakan perniagaan kek lapis sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia menerima bantuan mesin pengadun kuih kerana sangat memerlukannya berikutan banyak mendapat tempahan sejak akhir-akhir ini.

“Ini kali pertama saya menerima bantuan daripada MOA yang dapat dimanfaatkan untuk perniagaan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sempena Sesi Randau Bersama Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka dan Penyerahan Peralatan Industri Asas Tani (IAT) di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor, Sibu, Sarawak, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Nogeh Gumbek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee.

Yusmati Ahmad, 40, pula berkata, dia mengusahakan pelbagai kuih-muih tradisional masyarakat Sarawak termasuk karipap, pau dan sebagainya.

“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan MOA membantu peniaga mengurangkan bebanan seharian.

“Dengan adanya mesin pengadun kuih ini, saya dapat membuat pelbagai jenis kuih untuk dijual ketika sambutan hari raya nanti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sedia membantu penduduk Sibu mengembangkan perniagaan.

“Ia merangkumi pelbagai aspek termasuk mengenal pasti produk berpotensi dan menyalurkan pinjaman kewangan bagi mengembangkan produk pertanian mereka.

“Setakat ini, lebih 400 pengusaha dan peniaga kecil sudah mendapat manfaat daripada sumbangan peralatan elektronik IAT sejak lima tahun lalu membabitkan peruntukan hampir RM500,000.

“Sumbangan ini dapat membantu pengusaha dan peniaga kecil di DUN ini menambah pendapatan terutama menjelang Ramadan nanti,” katanya.

Katanya, MOA mahu Sibu mengeluarkan produk pertanian tempatan yang mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

“Kita sedia maklum Kuching antara yang terkenal dengan kek lapis, Sibu juga perlu mempunyai produk yang mempunyai tarikan komersialnya tersendiri.

“Sebagai contoh, penduduk DUN Nangka boleh menanam pokok dabai secara besar-besaran dan proseskannya menjadi produk yang dapat dipasarkan di Semenanjung, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil buah dabai boleh dijadikan jus minuman popular tidwak lama lagi sama ada di pasaran tempatan dan luar negara.

Pada majlis itu, seramai 75 pengusaha dan peniaga kecil di DUN Nangka menerima peralatan elektronik IAT dan perkakas menjalankan perniagaan yang disumbangkan MOA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 11:39 AM
Digital NSTP Subscribe