KELUARGA besar Norlina Alawi ubah persepsi masyarakat terhadap mereka.
KELUARGA besar Norlina Alawi ubah persepsi masyarakat terhadap mereka.
KELUARGA besar Norlina Alawi ubah persepsi masyarakat terhadap mereka.
KELUARGA besar Norlina Alawi ubah persepsi masyarakat terhadap mereka.
Siti Farahiyah Aziz


Tanggungjawab dan komitmen mematangkan usia. Itu gambaran tepat bagi Noor Emylia Erna Roslan, 25, anak muda yang sudah menggalas tanggungjawab sebagai ibu seawal usia 17 tahun.

Anak kelahiran Kluang, Johor yang sangat mesra dan mudah didekati ini tidak pernah menjadikan tanggungjawab dan komitmennya itu sebagai alasan untuk tidak meneruskan pelajarannya.

Menurut anak pengasas Keluarga Besar Norlina Alawi (KBNA) ini, perjalanan dirinya sedikit berbeza dengan remaja lain kerana seawal usia 17 tahun iaitu seminggu selepas Sijil Pelajaran Malaysia dia mendapat seorang ‘anak anugerah’.

“Ketika itu saya sendiri tidak pasti dengan keputusan yang saya buat, namun saya yakin dengan perancangan Allah SWT terhadap diri saya.

“Walaupun ketika itu agak sukar kerana bergelar ibu muda dan kakak kepada hampir 50 adik, saya tetap meneruskan pembelajaran sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Akauntan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka,” katanya.

CABARAN

Allah SWT tidak akan menguji seseorang di luar kemampuannya. Itu yang sentiasa dipegang sebagai prinsip utama dalam perjalanan hidup Along. Dia tidak pernah me­nyalahkan takdir malah bersyukur kerana dia diberi peluang oleh Allah SWT menggalas tanggungjawab seperti mamanya.

“Menceritakan cabaran, terlalu banyak perkara yang saya sukar lupakan. Namun, perkara pertama yang saya belajar adalah dalam menjaga anak, saya tidak boleh mengharapkan kepada mama seorang untuk menjaga adik lain.

“Selain itu, sepanjang menjaga anak anugerah ini saya perlu kuatkan mental dan psikologi diri kerana perlu berhadapan dengan pelbagai persepsi negatif masyarakat. Saya pernah difitnah oleh rakan sendiri serta dipinggirkan oleh masyarakat kerana takut de­ngan HIV atau AIDS,” katanya.

PERSEDIAAN HADAPI HIV/AIDS

“Walaupun KBNA ada menjaga anak anugerah yang menghidap HIV/AIDS, namun tidak semua menghidap penyakit itu. Bagi saya, jika ada masyarakat yang masih ragu dan takut dengan penyakit itu, kita perlu belajar berkenaan penyakit itu dan orang pertama yang boleh dijangkiti adalah mama.

“Alhamdulillah sehingga hari ini kami sekeluarga masih sihat walaupun menguruskan anak anugerah ini. Siapa kita untuk menghukum anak anugerah yang tidak bersalah ini kerana mereka sendiri tidak mengerti apa yang berlaku terhadap diri mereka. Kami di sini sentiasa menyediakan yang terbaik buat mereka,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menjaga anak anugerah, perkara pertama yang mesti dititikberatkan adalah waktu pengambilan ubat-ubatan. Mereka perlu disiplinkan masa pe­ngambilan ubat iaitu pada 7 pagi dan 7 malam setiap hari.

“Walaupun menghidap penyakit sama, ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital adalah berbeza setiap orang dan Along akan menyediakan bekas khas bersama nama mereka supaya tidak tertukar.

“Setiap bulan, Along juga akan membawa mereka ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

MULAKAN PERNIAGAAN JUBAH

“Semasa melanjutkan pelajaran, Along sentiasa berfikir jurusan yang bersesuaian supaya boleh membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Pada 2011, mama berbincang dengan Along konsep atau produk perniagaan yang akan diusahakan kerana ketika itu Jakel menawarkan satu ruangan di gedungnya itu iaitu di Tingkat 4, Jakel Mall Kuala Lumpur.

“Peluang yang datang tanpa diduga itu kami terima dengan terbuka. Kami memberanikan diri mengambil risiko dengan meyakinkan beberapa pelabur untuk memulakan perniagaan Jubah Norlina,” katanya.

Along berkata, selepas mendapat modal daripada pelabur, dia dan mamanya segera menempah tiket penerbangan ke Dubai kerana negara itu dianggap sebagai gedung jubah.

“Modal yang kecil menyukarkan urusan jual beli. Namun kami meyakinkan pembekal bahawa kami akan membayar balik selepas berjaya menjual koleksi pertama jubah Norlina Alawi.

“Alhamdulillah, hasil jualan koleksi pertama kami dapat membayar balik modal daripada pihak pelabur serta bayaran kepada pembekal. Keadaan itu sekali gus dapat meyakinkan pembekal untuk berurusan dengan kami,” katanya.

Menurut Along, dia dan mamanya akan ke Dubai bagi memilih fabrik dan corak bagi mengekalkan kualiti jubah mereka,” katanya.

PERANCANGAN AKAN DATANG

“Kami akan memfokuskan perkembangan KBNA bagi memastikan masa depan mereka terjamin. Perniagaan jubah yang kami bangunkan sekarang ini adalah satu persediaan atau platform bagi anak anugerah perempuan membabitkan diri dalam perniagaan dan memajukan diri mereka. Ini kerana pada waktu cuti, puasa atau raya mereka boleh turut serta membantu Along berniaga jubah.

“Selain itu, bagi anak lelaki pula, kami mengusahakan

tanah di Temerloh, Pahang untuk aktiviti pertanian dan perladangan iaitu menternak lembu, ayam, arnab serta kambing. Platform yang disediakan untuk mereka ini perlu diusahakan bersama-sama bagi memastikan masa depan mereka terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 1:39 PM