LIOW Tiong Lai di sidang media "Ops Cantas Khas Tonto" di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Lima belas tonto yang melindungi dan memberi maklumat kepada pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya ditahan hasil Ops Cantas Khas Tonto.

Ops itu dijalankan Unit Kongsi Gelap ( D7 )PDRM dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ sejak 26 April lalu melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata, hasil risikan selama tiga bulan operasi khas dijalankan di Negeri Sembilan,Perak dan Selangor di mana 15 lelaki berusia 21 hingga 46 tahun ditahan.

Katanya, 16 kenderaan termasuk tiga lori yang digunakan kumpulan tonto juga disita.

"Lapan daripada mereka ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala tujuh lagi ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Ini adalah usaha pertama melalui NBOS dan kami akan melancarkan operasi lain lagi melalui usahasama ini untuk memerangi sindiket kereta klon, lesen terbang dan jenayah lain yang membabitkan sindiket, " katanya pada sidang media Ops Cantas Khas Tonto di JPJ Putrajaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 2:25 PM