Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bergelar pemimpin keluarga menjadikan si bapa sebagai idola kepada anak-anak, tidak kira anak lelaki mahupun perempuan.

Perkembangan diri si anak sama ada daripada aspek emosi atau pemikiran sedikit sebanyak dipengaruhi bapanya, justeru tugas bapa bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.

Sifat dan cara si bapa melayani setiap kerenah anak-anak perlu bersesuaian supaya ia tidak dilihat terlalu tegas atau terlalu berlembut bagi memastikan hubungan yang terjalin antara bapa dengan si anak tiada jurangnya.

Ini hakikatnya memerlukan persediaan mental yang cukup kerana jika tersilap langkah, ia boleh mengundang perkara yang tidak diingini dalam proses pembesaran anak-anak.

Persepsi masyarakat yang sering menyatakan anak perempuan lebih rapat dan manja dengan bapa berbanding anak lelaki sebenarnya perlu diubah. Tidak kira jantina si anak, bapa perlu memainkan peranannya untuk menjadi antara individu yang paling rapat dengan si anak bermula sejak kecil hinggalah dewasa.

Berikut sedikit panduan bagi merapatkan hubungan diri dengan anak-anak dan pada masa sama, mengisi masa terluang sempena cuti sekolah ini:

> Rancang percutian dalam tempoh tertentu dengan mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada isteri dan anak-anak bagi memastikan jadual anak-anak diisi dengan aktiviti berfaedah bersama keluarga.

> Menjalankan aktiviti keluarga setiap hujung minggu sama ada perkelahan, beriadah di taman berdekatan, berjoging atau aktiviti hiburan lain seperti menonton wayang dan bermain boling.

> Luangkan masa misalnya menonton televisyen bersama anak pada waktu malam atau hujung minggu. Pada masa sama, tanyakan perkembangan diri mereka sama ada perihal rakan di sekolah, masalah atau sekiranya mereka menginginkan sesuatu.

> Rancang sambutan hari lahir untuk anak-anak walaupun sambutan itu sekadar sambutan ringkas di rumah bersama ahli keluarga. Apa salahnya berbelanja sedikit untuk hadiah yang diinginkan anak-anak.

> Sekiranya anda sering sibuk dengan tuntutan kerja sehingga terpaksa pulang ke rumah pada lewat malam dan anak-anak pula sudah tidur, ambillah cuti atau luangkan lebih masa bersama mereka ketika hujung minggu.

Pada masa sama, jelaskan kepada anak-anak mengenai tuntutan kerja anda dengan cara mudah supaya mereka lebih memahami diri anda.

> Jangan sesekali memarahi anak tanpa sebab dan tidak bertanya terlebih dulu kerana ini boleh menjejaskan perkembangan emosi mereka.

> Layan anak-anak mengikut usia mereka. Sekiranya anak anda masih kecil, layanlah mereka dengan manja dan banyak menjelaskan mengenai apa juga perkara bagi memastikan perkembangan minda mereka terbentuk dengan baik. Jika anak anda sudah meningkat remaja, layanlah mereka seperti seorang sahabat karib yang sama-sama dapat berkongsi suka mahupun duka.

> Terima anak anda seadanya, jangan sesekali membandingkan mereka dengan anak orang lain kerana perbandingan yang anda lakukan itu bakal membuatkan jiwa mereka memberontak sekali gus menjarakkan hubungan antara anda dengan si anak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:00 AM