MOHD Ridhuan (kanan) bersama Tan (kiri) membuat tinjauan di kawasan Empangan Sungai Layang di Pasir Gudang. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Bekalan Air Berjadual (BAB) di Mersing dan Kota Tinggi, mungkin diteruskan selepas 15 Mei sekiranya cuaca kekal panas dan kering.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata, BAB di kedua-dua daerah berkenaan dilaksanakan sejak 18 dan 20 April lalu sepatutnya berakhir pada 15 Mei ini.

Menurutnya, 81,505 penduduk terbabit dalam BAB berkenaan.

Katanya, loji rawatan air Sungai Mersing dan Tenglu mengurangkan pengeluaran bekalan air berikutan penyusutan Sungai Mersing dan empangan Congok.

"Empangan Congok menyusut 4.22 meter iaitu di bawah paras kritikal 4.50 meter.

"BAB di Kota Tinggi pula dilaksanakan di kawasan agihan loji rawatan air Sungai Gembut dan Lok Heng.

"Hingga kini SPAN juga tidak menerima permohonan daripada operator air negeri lain seperti Pahang, Perak, Perlis dan Kedah berkaitan pelaksanaan BAB di negeri berkenaan yang turut dilanda krisis air," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan lawatan kerja di Empangan Layang, Pasir Gudang di sini, hari ini.

Hadir sama, anggota SPAN, Datuk Roger Tan Kor Mee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:39 PM