Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Di sebalik kesibukan menguruskan syarikat produksinya Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 baru-baru ini, Datuk Rosyam Nor juga tidak menang tangan menguruskan perniagaannya dalam sektor pertanian yang diceburi sejak lima tahun lalu.

Siapa sangka Rosyam kini mempunyai 58 hektar ladang nangka madu dan durian belanda di Lanchang, Pahang yang mendatangkan hasil lumayan kepadanya.

Pelakon versatil yang mempunyai sikap rendah hati dan mudah mesra itu juga tidak lokek untuk berkongsi ilmunya dalam perniagaan dan menjelajah ke seluruh negeri bagi berkongsi kejayaannya dalam bidang perniagaan dengan usahawan dan peniaga Bumiputera baru.

Rosyam berkata, selepas menceburi bidang perniagaan sejak lima tahun lalu dan memperoleh kejayaan, dia berasa bertanggungjawab untuk turut membantu usahawan Bumiputera melalui perkongsian pengalaman, idea dan petua memperolehi kejayaan.

"Pihak kerajaan dan badan yang bertanggungjawab banyak menyediakan kemudahan, pinjaman dan seminar untuk membantu usahawan tempatan berjaya, justeru mereka perlu memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin.

"Boleh jadi segala tawaran daripada segi bantuan dan kemudahan disediakan kerajaan sekarang tiada pada masa akan datang, jadi usahawan perlu bertindak cepat dan merebut peluang diberikan.

Rosyam yang kini sedang menyiapkan filem terbaru terbitannya Isyarat Cinta lakonan Ady Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar berkata, dia sudah bergerak ke seluruh negara untuk berkongsi kejayaannya sejak beberapa tahun lalu dan bersyukur kerana ramai usahawan yang boleh menerima perkongsiannya malah ada antara mereka yang kini sudah berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing.

"Saya bukan pakar motivasi cuma mampu bercerita dan berkongsi pengalaman sendiri ketika mula-mula menceburi bidang perniagaan.

"Berkat perkongsian ini juga menjadikan saya lebih bersemangat untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Katanya, biarpun dia sibuk dengan perniagaan, bidang seni tetap diteruskan dan terbaru filem komedi terbitannya Rempit Sampai Langit diterajui Nabila Huda, Ajak Shiro dan Tauke kini dalam proses penggambaran.

Selain itu,beliau juga bakal beraksi dalam filem KL Gangster 3: Tailong arahan Syamsul Yusof yang dijangka menemui penonton pada Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:00 AM