DR Ng (enam dari kanan) mengetuai misi pemasaran.

Kuala Lumpur: Misi pemasaran Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) ke Qatar, Oman dan Kuwait untuk meningkatkan eksport kayu ke pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) berjaya meraih jualan eksport bernilai kira-kira RM6 juta.

Pengarah MTC bagi Promosi dan Pembangunan Perdagangan, Dr Eric Ng berkata, kira-kira 12 syarikat Malaysia yang menyertai misi pemasaran itu mempromosikan produk mereka menerusi sesi perangkaian perniagaan dengan pembeli, pengimport dan pengedar kayu.

“Melalui misi berkenaan, mereka turut meninjau peluang usaha sama di ketiga-tiga negara yang memperlihatkan peningkatan aktiviti pembinaan dan permintaan bagi produk kayu keras yang berkualiti. Ia juga membantu mengeratkan hubungan perdagangan dan meluaskan rangkaian perdagangan di rantau ini,” katanya.

Antara syarikat yang menyertai misi berkenaan adalah Bestwin Resources, Bortim Export, Eco Lumber, EPW, Supreme Fame, Welley Timber Industries, Robina Flooring, Segamat Panel Boards, SNL Woods, Top Forest Wood dan dua syarikat Bumiputera iaitu MyGlam dan Zahan Resources.

Menurutnya, misi pemasaran itu berjaya menonjolkan permintaan positif bagi produk kayu Malaysia dan membina hubungan perdagangan dua hala yang kukuh dengan pemimpin pasaran di Timur Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:01 AM