PEMANDU kereta Mercedes-Benz S400 bernombor pendaftaran Singapura ditahan reman dua hari bermula hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pemandu kereta Mercedes-Benz S400 bernombor pendaftaran Singapura yang tindakannya memandu secara melulu viral di laman sosial Facebook (FB), Isnin lalu, ditahan reman dua hari sehingga esok.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Mohammad Salehudin Abd Sani selepas membenarkan permohonan reman daripada pegawai penyiasat Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) untuk melakukan siasatan lanjut terhadap suspek.

Suspek berusia 46 tahun yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba bersama peguamnya, Datin Freda Sabapathy di mahkamah kira-kira 3 petang dengan menutup mukanya menggunakan baju-T putih.

Lelaki warga tempatan yang memiliki status penduduk tetap (PR) Singapura itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana disyaki memandu secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Terhahulu, suspek menyerah diri di IPD JBU pada 5.30 petang semalam selepas diburu polis berhubung laporan polis yang dibuat saksi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 4:59 PM