FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, hari ini, melupuskan pelbagai barangan tiruan yang bernilai RM750,000, hasil rampasan pihaknya sejak dua tahun lalu.

Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin berkata, semua barangan yang dilupuskan adalah kes rampasan barangan perlanggaran harta intelek mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

"Bagi pelupusan barang kes hari ini adalah hasil rampasan sejak 2014 hingga 2015 dan sudah mendapat arahan mahkamah untuk pelupusan. Antara barangan tiruan dilupuskan adalah cakera optik, pakaian, barangan kulit, kasut, minuman keras serta peralatan membuat dan membungkus minuman keras tiruan.

"Barang kes seperti pakaian, kasut dan barangan kulit itu akan digunting dan dikoyak, manakala minuman keras akan dilupuskan oleh kontraktor khas yang mana cecair alkohol berkenaan akan dilupuskan mengikut kaedah mematuhi keperluan daripada agensi yang menjaga alam sekitar manakala botol kaca itu dikitar semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang-barang Kes di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 12:50 PM