JAMALUDDIN (duduk) ketika disoal siasat di balai polis Tamalanrea.

Makassar: Seorang lelaki mendakwa dirasuk syaitan selepas dia membunuh anaknya yang berusia lima tahun dengan menghentak kepala mangsa menggunakan tong gas.

Lelaki berkenaan, Jamaluddin, 32, ditangkap polis selepas dia mengamuk di kediamannya di kampung Bulu Bulu di Tamalanrea, Makassar pada pagi semalam.

Jamaluddin dilaporkan mengamuk di rumahnya sebelum memukul anak lelakinya menggunakan kayu sebelum menghentak kepala mangsa dengan tong gas seberat tiga kilogram.

Jiran Jamaluddin yang menyedari kejadian itu segera bertindak menangkap dan mengikat lelaki berkenaan tetapi mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Penduduk kemudian menyerah Jamaluddin kepada polis sementara mayat kanak-kanak itu yang cedera parah di kepala dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Polis berkata, ketika disoal-siasat, Jamaluddin memberitahu dia dirasuk syaitan sehingga tidak menyedari membunuh anaknya sendiri.

Jurucakap polis Tamalanrea, Saharuddin berkata, pihaknya percaya Jamaluddin mengalami masalah mental kerana dia pernah dirawat di hospital sakit jiwa.

“Kami akan membawa suspek ke hospital sakit jiwa untuk menjalani pemeriksaan sebelum mendakwa dia ke mahkamah,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:10 AM