SEPANJANG bercuti Anzalna mahu rehat dan memasak untuk Hanif.

Pelakon Anzalna Nasir, 28, yang baru dua bulan bergelar isteri diulit kebahagiaan dan segala apa yang dilalui bersama suami tercinta, Mohamad Hanif Zaki, 28, amat indah.

Dia kini bercuti seketika daripada dunia lakonan kerana mahu ‘menjaga’ suaminya itu.

Katanya dalam nada ceria, perkenalan mereka selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan bernikah pada 21 Februari lalu, membuatkan mereka berdua begitu serasi, saling mempercayai dan memahami.

“Sebelum dan selepas berkahwin, perasaan dan sikap kami berdua tidak pernah berubah, malah semakin membahagiakan kerana hubungan kami sudah ‘halal’.

“Jika sebelum ini Hanif sangat mengambil berat mengenai saya, kini selepas menjadi suami, dia menjadi lebih ‘caring’.

“Kalau saya ada kerja di luar KL (Kuala Lumpur), Hanif sanggup bercuti untuk menemani saya,” katanya.

Seperti isteri lain, Anzalna akan memasak untuk Hanif sementelah lagi dia memang suka memasak.

“Alhamdulillah, Hanif suami yang senang dijaga dan tidak cerewet soal makan. Sediakan apa saja juadah, pasti dijamahnya,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan itu tinggal bersama keluarga Hanif di Kemensah Heights, Ulu Klang.

Jelas Anzalna, Hanif anak bongsu daripada dua beradik, lantaran itu mereka lebih selesa menetap di sana di samping dapat menemani ibu bapa mentuanya.

“Keluarga saya juga tinggal di KL, jadi walaupun sudah berkahwin dan tinggal bersama keluarga mentua, hubungan saya dengan keluarga tetap rapat. Jika dulu kami sering merancang pelbagai aktiviti bersama seperti menonton wayang, makan dan sebagainya, rutin harian itu diteruskan seperti biasa.

“Seperti malam ini (kelmarin) saya dan Hanif merancang keluar makan malam bersama ibu bapa serta adik-beradik saya,” katanya.

Nikmati detik indah

Meskipun sudah kenal sejak 10 tahun lalu, tetapi bergelar suami isteri mencipta momen yang lebih manis buat mereka berdua.

Lantaran itu, Anzalna sedetik pun tidak mahu meninggalkan suaminya itu dan hanya akan kembali berlakon selepas hari raya nanti.

“Saya mahu berehat, menjaga suami dan memasak untuknya. Sekarang saya berehat daripada berlakon dan hanya memenuhi undangan ke acara tertentu saja seperti baru-baru ini dijemput ke pelancaran koleksi Cosry Kartina Raya 2016 di Solaris, Dutamas.

“Jika saya ambil tawaran berlakon ia mengambil masa lama, itu belum termasuk jika penggambaran dilakukan di luar KL,” katanya.

Bercakap soal lakonan, dia akan teruskan kerjaya itu, namun akan membuat pertimbangan yang wajar berkaitan watak dan jalan cerita terutama membabitkan babak intim dengan pelakon lelaki.

“Hanif tidak pernah menghalang, tetapi saya sendiri kena faham kedudukan saya sebagai isteri orang,” katanya.

Drama terakhir lakonan Anzalna ialah Memori Cinta Suraya sebanyak 137 episod yang sudah pun selesai bersiaran di Astro Prima dan kini disiarkan di saluran TV Jakarta.

Bekerja dalam episod drama yang panjang mengambil masa berbulan-bulan tidak pernah meletihkan Anzalna, malah dia merindui semua pelakon yang terbabit dalam pembikinan drama itu.

Drama terbitan Global Station itu turut dibintangi Hisyam Hamid, Afiq Muiz, Marisa Yasmin, Miera Leyana, Iqram Dinzly, Syafnida Shuhaimi, Kay Khydir, Nafiez Zaidi, Nazeera Sardi, Syuhaida Abraz, Arash Mohd, Watie Sadali, Kufrida, Zarynn Min, Riezman Khuzaimi, Liza Abdullah, Tunku Hanis, Mahmud Ali Bashah, Zila Bakarin, Farid Wari dan Aleza Shadan.

“Kami selesa bekerja bersama terutama dengan pasangan saya dalam drama itu, Hisyam Hamid. Dia sangat profesional dan selalu tiba di lokasi tepat pada masanya.

“Selama empat tahun saya berada dalam industri ini, saya paling seronok berada di lokasi drama Memori Cinta Suraya, rasa seperti satu keluarga besar.

“Sehingga sekarang ‘hubungan kekeluargaan’ itu terus terjalin dan jika ada masa terluang saya, Hisyam dan Iqram, akan keluar makan dan berkaraoke.

“Selepas ini jika ada lagi tawaran untuk berlakon dalam episod yang panjang, saya tiada masalah untuk menerimanya asalkan jalan cerita bagus dan watak bersesuaian,” katanya.

Memori Cinta Suraya turut popular di Brunei sehingga kerabat diraja di sana menjemput Anzalna, Hisyam dan Iqram ke negara itu untuk berkenalan lebih rapat dengan mereka.

“Saya ke sana dengan Iqram kerana Hisyam sibuk waktu itu. Mereka peminat fanatik drama itu dan kami diberi layanan yang sangat baik,” katanya.

Anzalna yang belum sempat berbulan madu ‘secara rasmi’ dengan Hanif merancang bercuti ke Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Soal anak, mereka serahkan kepada Allah SWT dan bersedia bila-bila masa untuk menerima ahli keluarga baru. - Nor Akmar Samudin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:51 AM