PELAKON yang menjayakan teater Mere Behen Ki Shaadi.

Teater Mere Behen Ki Shaadi arahan Zhafir Muzani atau Mazlee yang juga pelakon sitkom Oh My English! berjaya dipentaskan dengan baik di Dewan Sri Budiman (DSB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 3 dan 4 Mei lalu.

Persembahan itu diadakan sempena Honours Stage (projek akhir) bagi penilaian akhir pembelajaran pelajar Jabatan Teater, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA).

Ia sekali gus membuka peluang kepada penuntut program terbabit mempamerkan kebolehan masing-masing meliputi aspek pengarahan, lakonan, gerak, nyanyian, sinematograf dan banyak lagi.

Semua pelajar dilatih berdikari termasuk mencari dana sendiri bagi menghasilkan projek itu serta melakukan kerja promosi untuk menarik perhatian penonton.

Meskipun berdepan kekangan masa dan ruang untuk berlatih, kesungguhan pelajar menjayakan projek itu wajar dipuji.

Mereka berjaya membuktikan apa yang dipelajari sepanjang tempoh pembelajaran difahami dengan baik.

Zhafir berkata, karya itu dipilih untuk menampilkan kelainan dalam pementasan.

“Ia berkonsepkan Bollywood dan dipentaskan dalam bentuk muzikal. Menariknya, pelakon berjaya menginterpretasikan watak dengan baik,” katanya.

Mere Behen Ki Shaadi mengisahkan perkahwinan Rahul dan Pooja. Di sebalik kegembiraan yang dipamerkan, berlaku sesuatu di luar dugaan keluarga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:58 AM