TERTUDUH (dua kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO Yahya Zainuddin
Wan Asrudi Wan Hasan


Ipoh: Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk sehingga membabitkan kerugian wang berjumlah lebih RM7 juta antara tahun 2013 dan 2014.

Luke Ram Shori, 54, dari Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Tertuduh didakwa menipu Datuk Lee Seng Hee, 61, di Public Bank Berhad, Jalan Yang Kalsom Ipoh, mulai 11 November 2013 hingga 22 Julai 2014 dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dirinya akan dijadikan sebagai rakan kongsi dalam perniagaan ikan koi melalui Syarikat Best Koi yang tertuduh dakwa miliknya.

Tindakan itu mendorong mangsa untuk melabur dalam projek perniagaan ikan berkenaan dengan memasukkan sebahagian wang ke dalam akaun Syarikat Best Koi manakala sebahagiannya pula ke akaun Syarikat Sakai Fish Farm Co Ltd di Jepun, kesemuanya berjumlah RM7,625,327.40.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat atau kedua-duanya.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bersama seorang penjamin selain memerintahkan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela Muhammad Nor Izzat Nordin sementara 8 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Gambar Yahya Zain

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 1:56 PM