Jasin: Sebagai pemilik dan tukang masak restoran di Batu Pahat, Johor, sememangnya sukar buat Ma Wong Ee (gambar), 42, menyertai kejohanan basikal bukit.

Masa menjadi kekangan untuknya menyertai mana-mana pertandingan, namun juara Master Jamboree Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 itu tetap berusaha menyertai satu dua pertandingan bagi menilai kemampuannya.

“Sebagai pemilik restoran masakan panas mungkin mudah untuk saya menyertai kejohanan, namun saya juga tukang masak sekali gus masa yang ada untuk berbasikal amat terhad.

“Seperti di Asahan, saya pernah menyertai kejohanan lain namun lokasinya hanya di sekitar Johor Bahru.” katanya.

Kejayaan Asahan dianggap di luar jangkaan, namun hajat menyaksikan anaknya Ma Chau Ying, 22, muncul juara tidak kesampaian apabila sekadar muncul naib juara kategori Junior XC Metro.

“Saya fikir anak saya menjadi juara sekali gus kami boleh meraikannya bersama, namun naib juara kira OK juga.

“Pada sirkit lalu di Nibong Tebal, Chau Ting muncul juara, menyebabkan saya yakin dia mampu mengulangi kejayaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 7:16 AM