NICO (kiri) dan Vinz mengecapi populariti menerusi lagu Am I Wrong.
NICO (kiri) dan Vinz mengecapi populariti menerusi lagu Am I Wrong.
Georgie Joseph


Duo berasal dari Norway ini menakluk dunia dengan lagu Am I Wrong. Dikenali sebagai Nico & Vinz, kemunculan mereka pantas mencuri perhatian ramai peminat sehingga meraih populariti secara mendadak.

Sekadar berkongsi bakat yang ada dalam diri, Nico atau nama sebenarnya, Nicolay Sereba dan Vinz (Vincent Hery) tidak menyangka karya mereka itu diterima baik pelbagai pihak.

Ini kerana mereka berasakan tiada apa yang istimewa pada melodi Am I Wrong.

“Terus-terang, kami berasakan lagu ini hanya karya biasa. Justeru itu, apabila ia menjadi siulan ramai dan berada di kedudukan teratas pelbagai carta lagu, kami seolah-olah bermimpi.

“Rasa tak percaya, tetapi ia benar-benar berlaku,” kata Vinz ketika ditemu bual baru-baru ini.

Vinz berkata, mungkin niat murni mereka membuatkan lagu itu mudah diterima masyarakat dunia. Mereka bukan mengejar kemasyhuran, sebaliknya mahu muzik yang diperjuangkan mampu mengubah dunia.

Selain bakal melancarkan single terbaru berjudul Not For Nothing, duo ini aktif terbabit dengan kerja amal.

“Terbabit dengan program sebegini beri kepuasan kepada kami. Setakat ini sudah banyak tempat kami kunjungi antaranya Chicago dan Afrika Selatan.

“Ia pengalaman yang sangat berharga. Dari situ kami melihat, mendengar dan merasai sendiri situasi sebenar yang dilalui mereka yang tidak bernasib baik termasuk pelarian Syria.

“Paling tidak dapat dilupakan, kami masuk ke perkampungan pelarian Syria dan menghiburkan hati mereka dengan muzik kami. Memang sebak lihat keadaan mereka,” katanya.

Menurut Vinz, bukan mudah untuk mereka berada di kedudukan sekarang kerana banyak penderitaan dan kesukaran terpaksa ditempuh.

“Kehidupan lampau kami tidak sebaik sekarang. Biar apa pun dugaan, kami sentiasa percaya pada diri dan tidak pernah berputus asa.

“Saya dan Nico boleh sampai ke tahap ini kerana latar belakang kami hampir sama. Kami insan biasa yang penuh dengan impian dan syukur ia menjadi kenyataan,” katanya.

Teruja ke Malaysia

Berkongsi berita gembira, Vinz berkata, mereka akan datang ke Malaysia bagi menjayakan acara Shell Fuelsave Electric Run Malaysia 2016 dan tidak sabar bertemu peminat.

Apatah lagi, mereka tahu ramai peminat di negara ini antara penyokong kuat mereka.

“Kami tahu peminat di Malaysia antara penyumbang kepada kejayaan Nico & Vinz. Bahkan, kami lihat ramai pengikut media sosial dari Malaysia menyukai lagu Am I Wrong.

“Jadi, sudah tentulah kami teruja dan tidak sabar mahu bersua muka dengan mereka,” katanya.

Nico & Vinz menjanjikan persembahan terbaik dan berharap ia meninggalkan kenangan cukup manis buat peminat di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:02 AM