X
KERJASAMA dengan pihak imigresen di ibu kota.
KERJASAMA dengan pihak imigresen di ibu kota.
PENGHUNI kanak-kanak menjamu selera.
PENGHUNI kanak-kanak menjamu selera.
MENYERAHKAN sumbangan kepada penerima.
MENYERAHKAN sumbangan kepada penerima.
KETIKA melawat pusat penempatan di Ampang.
KETIKA melawat pusat penempatan di Ampang.
Aniza Zainudin


Linangan air mata menghiasi wajah masyarakat Rohingya penerima bantuan barangan keperluan menjadi isyarat bukan lisan tanda penghargaan mereka terhadap pertolongan yang dihulurkan.

Penempatan masyarakat Rohingya di Pusat Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah menjadi lokasi kelima kunjungan sukarelawan Misi Kemanusiaan Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) selepas fasiliti di Taman Putra, Ampang, Kuala Lumpur, Mac lalu.

Berdepan konflik di tanah air sendiri hingga terpaksa menumpang di bumi asing tanpa pembelaan membuatkan masyarakat Rohingya berdepan pelbagai cabaran malah mengalami masalah kekurangan barangan keperluan asas.

Terpanggil untuk menyalurkan bantuan berbentuk makanan, barangan peribadi, pakaian, peralatan persekolahan dan wang perbelanjaan, lebih 20 mahasiswa MEDIU pelbagai latar belakang, jurusan dan kewarganegaraan turun padang untuk menyelami dan mengurangkan bebanan golongan pelarian itu.

Ketua Unit Perhubungan, Sekretariat Misi Kemanusiaan MEDIU, Ahmed Hamood Hamed Albalawi, 29, berkata, misi itu bermula dua bulan lalu dengan mengambil saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk sama-sama membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada saudara Rohingya.

“Ini kali kedua saya menyertai misi selepas di Ampang. Bantuan diserahkan kepada lebih 40 penerima berbentuk barangan keperluan harian.

“Apa yang mengejutkan, kebanyakan pelarian di sini adalah kanak-kanak dan bayi. Jadi, keperluan lebih kepada barangan bayi seperti lampin, susu dan makanan khas.

“Melihat kesukaran mereka, saya dapat menyelami penderitaan mereka yang dizalimi dan dihalau dari tanah air sendiri.

“Saya berasa bertanggungjawab untuk memberikan kata-kata semangat dan memperteguhkan keyakinan (kepada mereka) untuk menjalani kehidupan pada masa depan,” katanya.

Berpegang pada hadis diriwayatkan Imam Muslim, sabda Nabi Muhammad SAW mengenai tanggungjawab dan keberkatan mengurangkan bebanan insan yang menderita, Ahmed Hamood mengakui pendidikan antara jalan terbaik untuk mengubah nasib masyarakat berkenaan.

Mewakili suara MEDIU, beliau bertekad membulatkan usaha menggunakan sumber yang dimiliki bagi memastikan pendidikan anak Rohingya tidak terabai, selain mempromosikan kempen kesedaran membabitkan semua peringkat masyarakat tempatan.

Berbekalkan ilmu, kanak-kanak Rohingya memiliki peluang menjana pendapatan sendiri pada masa depan tanpa perlu bergantung pada ihsan lagi.

Kagum dengan perjuangan masyarakat Rohingya yang mempertahankan akidah dan maruah mereka, pemuda Arab Saudi itu menyifatkan raut wajah kegembiraan menyambut kedatangan rombongan sukarelawan sebagai penyemarak semangat untuk terus aktif dalam misi kemanusiaan.

Melihat pada kesungguhan dan keprihatinan rakyat tempatan dan pemimpin, Ahmed Hamood yakin pelarian Rohingya berupaya meneruskan hidup mereka semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:02 AM
Kabinet Malaysia 2020