Norhayati Nordin


Meskipun bakat seni Erul dicungkil daripada bidang nyanyian, sumber rezekinya lebih menjurus kepada lakonan dan pengacaraan.

Sejak tiga tahun lalu, bekas bintang Akademi Fantasia musim 9 (AF9) ini aktif membina karier selaku pelakon dan pengacara. Erul memaklumkan kecintaannya yang mendalam terhadap karier seni menyebabkannya membuang sikap pemilih.

“Saya lebih selesa terima apa saja peluang yang datang. Sama ada menyanyi, berlakon mahupun sebagai pengacara majlis dan program TV.

“Apa yang penting bagi saya adalah menimba pengalaman. Bagaimanapun, saya sama sekali tidak menyangka akan menyerlah sebagai pelakon dan pengacara,” katanya.

Khairul Najmuddin Abu Samah, 25, yang kini semakin berisi mengakui minatnya pada nyanyian tidak pernah pudar. Buktinya, dia sudah merakamkan single baru, Lebih Dari Kata.

“Kini, saya dalam proses memantapkan strategi promosi dan publisiti untuk lagu ini. Apa pun, lagu Lebih Dari Kata sudah mula mendapat perhatian pendengar radio.

“Saya meletakkan harapan supaya lagu ini diterima baik peminat muzik tempatan. Berilah peluang kepada lagu saya yang berkonsepkan ‘fresh & urban’ ini,” katanya.

Mengenai penampilannya yang berisi, Erul berkata sekarang menjadi rutin hariannya menjalani latihan kecergasan di gimnasium. Pantang ada masa terluang, dia akan ke gimnasium untuk bersenam sekali gus mendapatkan bentuk badan yang sasa.

“Penting untuk saya melakukan inisiatif ini demi tuntutan karier seni. Saya ingin terus maju dalam karier seni sama ada sebagai penyanyi, pelakon atau pengacara,” katanya.

Erul yang ramah berbicara berkata, demi meneruskan kelangsungan kariernya dia juga tidak kesah untuk menerima tawaran menjadi pengacara majlis.

Mengakui tidak gentar dengan persaingan, Erul berkata, dia yakin dengan ketentuan rezeki ditetapkan Tuhan. Katanya, apa yang penting rajin usaha.

Pernah muncul membintangi drama seperti Anak Patung dan Lari Mira, Erul berkata, setiap cabang karier seni diceburi pasti ada cabarannya.

“Dalam soal ini, saya senantiasa cuba menggunakan peluang diperoleh sebaik mungkin dalam usaha membuktikan bahawa saya memiliki bakat.

“Saya lebih selesa membina nama berpaksikan bakat berbanding kisah peribadi,” katanya.

Apa pun, Erul akui kini dalam proses mengubati hati terluka akibat putus cinta dan enggan bercerita lanjut mengenainya.

Erul juga bersyukur kerana sikapnya yang sangat ramah dan suka bercakap membuka ruang untuknya menjadi pelakon dan pengacara. Tambah pula dia memang suka beraksi depan kamera.

“Memang saya tiada masalah untuk membina karier sebagai pengacara dan pelakon. Bakat seni saya sebenarnya diasah sejak zaman persekolahan lagi. Ketika masih bersekolah dulu, saya selalu menyertai pertandingan,” katanya.

Turut memiliki bakat dalam penciptaan lagu, Erul berkata dia juga pernah merakamkan lagu ciptaan sendiri berjudul Manusia Biasa.

Biarpun lagu yang dirakam pada 2012 itu tidak membantu menyerlahkan bakat nyanyiannya, Manusia Biasa pernah dipilih menjadi lagu OST drama.

Apa pun, Erul berkata dia selesa bersikap positif dalam memikirkan hala tuju karier seni diceburinya untuk jangka masa panjang.

“Saya takkan mudah putus asa apa lagi pantang menyerah. Selagi ada ruang dan peluang, saya akan ambil dan memberanikan diri untuk mencuba.

“Sebagai bakat baru yang memerlukan peluang untuk serlah bakat, apa yang saya tetapkan dalam hati adalah berani sahut cabaran,” katanya.

Selain AF9, Erul pernah muncul naib juara pertandingan Kpop Star Hunt musim kedua pada 2013.

Menerusi pertandingan itu, Erul menyahut cabaran bersaing dengan barisan peserta Asia dari Filipina, Jepun, Singapura dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:02 AM