DAVIS (kiri) rai jaringan bersama Dusan Tadic (tengah) dan Cuco Martina.
AFP

London: Steven Davis menambah derita Tottenham selepas mereka gagal mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila jaringan berganda pemain tengah Southampton itu memastikan kemenangan 2-1 malam tadi.

Skuad Mauricio Pochettino menyerahkan mahkota kejuaraan kepada Leicester selepas mensia-siakan peluang untuk memintas pencabar mereka apabila seri ketika berdepan West Brom dan Chelsea.

Kedukaan mereka bertambah parah dengan satu lagi kekecewaan di White Hart Lane.

Mendahului jaringan menerusi pemain tengah Korea Selatan Son Heung Min, Tottenham dilihat semakin selesa untuk mengesahkan kedudukan di tangga kedua.

Namun kesilapan penjaga gol Tottenham Hugo Lloris membolehkan Davis menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa dan pemain Ireland Utara itu sekali lagi menjaringkan gol pada separuh masa kedua menyebabkan skuad London utara gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Skuad Pochettino kekal tiga mata mendahului Arsenal di tangga ketiga yang berdepan Manchester City lewat malam tadi dan dengan kelebihan gol berbanding Gunners, mereka masih boleh mendahului pencabar utama mereka buat kali pertama sejak 1994-95 jika mereka menewaskan Newcastle pada hari terakhir musim ini.

Southampton yang menduduki tangga keenam terus memburu tempat ke Liga Europa dan akan mengatasi kutipan mata kelab itu sebelum ini dengan keputusan seri dalam pertemuan terakhir menetang Crystal Palace.

Selepas kejadian di Stamford Bridge awal pagi Selasa lalu, apabila pemain Tottenham berang selepas seri dengan Chelsea, kejayaan Leicester menjulang trofi Liga Perdana Inggeris, secara rasminya kelmarin terus menjadikan luka mereka semakin parah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:35 AM