KELUARGA Misbun bergambar bersama Chong Wei (tiga dari kiri).
myMetro

Kuala Lumpur: Ada peluang untuk cemerlang tetapi perlu bersatu dan tidak boleh mengharapkan Datuk Lee Chong Wei saja, pandangan yang diberikan bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengenai skuad Piala Thomas kali ini.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan semasa skuad negara masih mempunyai peluang untuk menyinar di Kunshan namun segala kekurangan yang ada harus diperbaiki jika bercita-cita untuk muncul juara.

“Kita masih lagi antara empat pasukan terbaik dari dulu sampai sekarang, cuma kita perlu merapatkan segala jurang dan ambil kesempatan supaya ia tidak terlepas lagi seperti sebelum ini,” katanya kepada media pada majlis perkahwinan anaknya, Misbun Shawal Misbun di Dewan Tan Sri Ainuddin Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam.

Legenda badminton negara itu berkata, beberapa perkara harus dikunci dengan rapi dan hanya pemain saja boleh memainkan peranan bagaimana untuk mendapatkan kejuaraan kali ini berdasarkan peluang yang masih ada.

“Kekuatan kita masih lagi disandarkan kepada Chong Wei, dengan syarat dia dapat mempertahankan prestasi semasanya. Dia sukar untuk digugat, peranan lain yang boleh kita harapkan adalah dari seorang lagi pemain perseorangan ataupun dua pasangan beregu.

“Berdasarkan senarai pemain, kemampuan kita tidak jauh berbanding negara lain tapi kalau kita hanya mengharapkan Chong Wei seorang saja, ini bermakna pasukan kita belum cukup kuat. Kita harus lihat perkara ini secara menyeluruh iaitu perseorangan dan beregu,” katanya.

Ditanya mengenai kemampuan perseorangan kedua, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Misbun mengakui pemain itu sudah menunjukkan perkembangan positif, tetapi masih kurang stabil dari segi penyudah.

“Kalau tidak ada senjata, bagaimana untuk memberi ancaman kepada lawan. Sekurang-kurangnya ada senjata dan taktikal untuk bunuh musuh,” katanya.

Selain Chong Wei dan Iskandar, skuad Piala Thomas kali ini dibarisi Chong Wei Feng, Goh Soon Huat (perseorangan), Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:46 AM