RAED berdiri di sebelah ibunya ketika mengucapkan selamat tinggal kepada penyokongnya sebelum masuk penjara di Beersheba.
RAED berdiri di sebelah ibunya ketika mengucapkan selamat tinggal kepada penyokongnya sebelum masuk penjara di Beersheba.
Agensi

Beersheba: Ketua masyarakat Islam Arab Israel, Raed Salah, semalam memulakan hukuman penjara sembilan bulan atas tuduhan menncetuskan rusuhan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis.

Raed disambut kira-kira 100 orang, termasuk anggota Parlimen Arab Israel ketika tiba di penjara di Beersheba, di kawasan padang pasir Negev, selatan Israel.

Ketika majlis perpisahan di kediamannya di Umm al-Faham, utara Israel, Raed berpeluk-pelukan dengan penyokongnya, lapor agensi berita Q-Press yang rapat dengan pergerakan Islam Arab Israel.

“Ia satu penghormatan bagi saya dipenjarakan kerana mempertahan dan melindungi Al-Aqsa serta Baitulmaqdis. Saya dipenjarakan kerana kehendak Allah, bukan kerana kehendak Netanyahu (Benjamin, Perdana Menteri Israel),” katanya.

Raed mengetuai Pergerakan Islam di utara Israel. Netayanhu mengarahkan kumpulan itu diharamkan tahun lalu selepas menuduhnya menyumbang kepada keganasan yang sehingga ini menyebabkan pasukan keselamatan Israel membunuh 203 penduduk Palestin.

Tuduhan terhadap Raed berpunca daripada perhimpunan bagi membantah kerja pembinaan Israel berhampiran pekarangan Al-Aqsa. Ketika itu, dia menggesa umat Islam dan Arab melancarkan intifada bagi mempertahankan Baitulmaqdis, khususnya Masjid Al-Aqsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 8:02 AM