Georgie Joseph


Persembahan penyanyi kelahiran Barbados ini antara yang sentiasa dinantikan penonton pada setiap konsertnya.

Rihanna, 28, kerap tampilkan sesuatu di pentas yang sekali gus meletakkan dia antara penghibur terhebat.

Bagaimanapun, penyanyi Work itu mengecewakan peminatnya di San Jose, California, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menerusi persembahannya yang teruk.

Padahal, permulaan konsert itu disifatkan sangat bijak apabila dia tampil mendendangkan beberapa lagu lamanya termasuk Stay. Tidak ketinggalan, nyanyiannya menerusi lagu Love the Way You Lie (Part ll) berjaya menyentuh perasaan.

Malangnya, momentum persembahan Rihanna tidak berkekalan dan menjunam sehingga meragut perasaan teruja penonton pada malam itu.

Mana tidaknya, seakan-akan ada yang tidak kena, 90 minit selepas permulaan yang sangat menjadi itu tidak menggambarkan kehebatan penyanyi itu langsung.

Sangat memalukan, semua tahu dia mampu memberi sesuatu yang sangat luar biasa kepada penonton sebelum ini. Antara masalah besar terhadap konsert itu adalah aturan masanya yang dikatakan sangat teruk.

Sudah menyanyikan lagu perlahan pada sesi pembukaan, dia sepatutnya hangatkan pentas dengan lagu rancak pula.

Bagaimanapun, itu tidak berlaku apabila jangka masa yang panjang diambilnya sehinggakan penonton mula hilang keterujaan.

Sehingga tiba waktu dia menyanyikan lagu Birthday Cake dan Numb, barulah kehangatan mula sedikit terasa.

Meskipun daripada segi nyanyiannya masih mantap, tetapi ia seakan-akan tidak cukup. Banyak masa dia kedengaran sangat bergantung kepada rakaman awal vokal dan kelihatan terkial-kial.

Bahkan, banyak sesinya dihabiskan dengan menyanyi rangkai medley sehingga penonton tidak puas kerana lagunya semua dipendekkan.

Ternyata, dia sendiri kecewa dengan persembahannya apabila tampil dengan satu kenyataan di Twitter sejurus selepas konsert tamat.

“Maafkan saya San Jose kerana kehilangan tenaga malam ini. Ada kemalangan teruk berlaku menyebabkan semua itu terjadi. Maaf, saya janji akan tebus semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 10:31 AM