NORA
NORA
Georgie Joseph


Kekurangan ilmu dalam bidang perniagaan bukan penghalang buat pelakon, Nora Danish, 34, untuk berniaga. Bahkan, setakat ini dia sudah membuktikan perniagaan kafe dan penjualan tudung Owl by ND mempunyai masa depan yang cerah.

Malah, Nora mengakui demi perniagaannya, dia terpaksa memperlahankan kerjaya lakonan.

“Sekarang, saya sudah kurang mengambil tawaran berlakon untuk menguruskan semua perniagaan. Bagaimanapun, saya masih terbuka untuk terima tawaran berlakon sekiranya naskhah itu bagus,” katanya.

Barangkali pada mata umum, Nora hanya melakukan perniagaan secara suka-suka saja pada awalnya. Namun, ternyata tidak lagi sekarang kerana dia sudah ada visi bagi mengembangkan skop perniagaannya.

“Saya melihat inilah yang akan saya lakukan untuk jangka masa panjang. Terbaru, saya dan rakan kongsi akan membuka cawangan baru untuk kafe Kopi Xoxo di Bangi Sentral pada penghujung Mei ini.

“Untuk masa depan pula, saya mahu melebarkan pula perniagaan dengan meneroka penjualan produk kecantikan termasuk minyak wangi.

“Kepentingan memiliki perniagaan untuk jangka masa panjang semakin jelas buat saya kerana siapa tahu bila zaman kejatuhan saya pula. Sebaik-baiknya, saya mahu gunakan pengaruh yang ada sekarang ini untuk memulakan semua itu,” katanya.

Beralih kepada cerita peribadi, Nora mengakui dia tidak lagi tertekan jika hubungan cintanya dengan kekasih, Nedim, masih menjadi perbualan.

Sudah mengeluarkan kenyataan tidak lama dulu mengenai perancangan rumah tangga mereka, dia bagaimanapun belum dapat mengesahkan tarikh hari bahagianya itu.

“Sejak kembali solo beberapa tahun dulu, itulah yang menjadi teka-teki dalam kalangan peminat. Memang awal dulu ia membuat saya tertekan, tetapi apabila sudah bertahun-tahun ditanya soalan sama, ia jadi perkara biasa buat saya.

“Terlanjur berkongsi perancangan berumah tangga dengan Nedim sebelum ini, apapun, kami belum menetapkan bila perkahwinan itu akan diadakan. Tetapi, yang pasti ia akan berlangsung tahun ini juga,” katanya yang menyasarkan majlis diadakan selepas Aidilfitri nanti.

Namun begitu, berbeza dengan statusnya sebagai pelakon paling berpengaruh, dia tidak merancang mengadakan majlisnya kelak secara besar-besaran.

“Ia memang benda baik yang tidak perlu ditangguh-tangguh lagi. Atas dasar itu, saya sendiri cuma mahukan majlis sederhana dan tidak mahu buat gah. Apa yang saya harapkan, majlis itu nanti berlangsung dengan lancar dan dihadiri orang tersayang bagi berkongsi detik indah itu,” katanya.

Nora ditemui sewaktu pelancaran koleksi Raya with Owl & Eid OwlbyND and Sirnasin apabila buat kali pertama memperkenalkan pakaian jenamanya sendiri selain tudung, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 10:39 AM