KERETA api yang bertembung tempoh hari mengakibatkan gangguan perjalanan hari ini. FOTO Bernama
Amrullah Abdul Karim


Bukit Beruntung: Beberapa perkhidmatan kereta api di Wilayah Tengah masih mengalami gangguan berikutan kesan insiden pelanggaran ETS dan Ekspres Rakyat pada petang Sabtu lalu.

Gangguan berlaku hari ini yang mana KTM Komuter dari Tanjung Malim ke Kuala Kubu Bharu dibatalkan.

Menurut jurucakap KTMB, tren Komuter bermula dan tamat di Stesen Rasa sehingga kerja membaik pulih landasan siap dijalankan.

"Penumpang dinasihatkan mendapatkan pengangkutan alternatif untuk pergi dan balik antara Tanjung Malim - Kuala Kubu Bharu.

"Manakala perkhidmatan ETS di laluan Ipoh - KL Sentral ditamatkan di Stesen Tanjung Malim dan penumpang dipindahkan menggunakan bas ke KL Sentral.

"Untuk laluan kontra, penumpang menaiki bas dari KL Sentral ke Tanjung Malim dan meneruskan perjalanan ke Ipoh menggunakan tren," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiada gangguan bagi perkhidmatan KTM Intercity dan KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.

Dalam kejadian itu, dua tren berkenaan terbabit dalam pelanggaran menyebabkan dua orang cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 1:56 PM