SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Dataran 1Malaysia Klebang. FOTO Zuhairi Zuber
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Dataran 1Malaysia Klebang. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Sebanyak 109 saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dalam operasi Ops Samseng Jalanan, di Dataran 1Malaysia Klebang, di sini, semalam.

Dalam operasi selama lima jam bermula jam 5 petang dan berakhir kira-kira 10 malam itu, sebanyak 205 motosikal, 15 kereta dan dua van diperiksa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, selain 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, lima motosikal turut disita.

"Kesalahan dilakukan oleh penunggang motosikal adalah tiada lesen memandu, melakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh serta tiada nombor pendaftaran.

"Turut ditahan tujuh lelaki yang mempunyai waran tangkap selain seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dipercayai memiliki motosikal curi dan dia akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 2:31 PM