WAN Azwande (kanan) bersama pembantunya menggaul jagung dan dedak yang dihasilkan.
WAN Azwande menunjukkan ayam herba ternakannya.
SEBAHAGIAN daripada 5,000 ayam kampung ternakannya.
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Niatnya menternak ayam kampung adalah untuk menyediakan ternakan yang dijamin halal dan pada masa sama tidak menjejaskan kesihatan umat Islam.

Bagi mencapai hasrat itu, Wan Azwande Ahmad, 38, hanya memberi makanan organik yang dipastikan tidak bercampur bahan kimia kepada ayam ternakannya. Dia turut menghasilkan bokashi iaitu makanan ayam yang diadun sendiri mengandungi herba berkhasiat serta bermutu tinggi selain jagung kepada ternakannya.

Hasilnya, dia berjaya menghasilkan ayam kampung yang diberi nama Royal Herba yang dagingnya dijamin bebas daripada campuran bahan kimia berbahaya.

Berkat usahanya, kini Wan Azwande berjaya menternak lebih 5,000 ayam kampung organik yang sentiasa mendapat permintaan daripada penduduk sekitar Tasek Gelugor, Seberang Perai.

“Saya mengunakan bahan makanan seperti jagung dan bokashi bagi meningkatkan pembesaran ayam selain minuman enzim untuk anak ayam yang diternak di kawasan seluas satu hektar ini.

“Pemakanan berkhasiat yang memanfaatkan penggunaan pelbagai bahan organik dan herba dapat meningkatkan daya tahan ayam daripada serangan penyakit,” katanya ketika ditemui di Kawasan Pertanian PERDA, Ara Kuda, Tasek Gelugor, baru-baru ini.

Wan Azwande berkata, makanan ayam itu hasil penyelidikan dijalankannya sejak setahun, selain tumpuan khususnya sebagai ejen pemangkin pertumbuhan yang banyak digunakan dalam industri penternakan untuk mempercepatkan proses tumbesaran ayam.

Dia berkata, hasrat utamanya menceburi ternakan ayam kampung kerana mahu menyahut seruan agama dan kerajaan yang mahu lebih ramai orang Islam terbabit dalam industri makanan halal.

“Saya terpanggil menternak ayam kampung organik selepas membaca pelbagai laporan kebelakangan ini mengenai daging yang disuntik dengan bahan tidak halal, ditambah dengan cara sembelihan meragukan.

“Hasil penelitian saya mendapati kebanyakan makanan yang diberikan kepada ayam untuk tujuan pembesaran dan tempoh sebenar ayam untuk membesar tidak mengikuti kaedah betul menyebabkan pengguna berdepan risiko ditimpa pelbagai penyakit seperti barah dan sakit jantung.

“Jadi saya menceburi penternakan ayam herba ini pada awal Mac lalu dan sambutan daripada pengguna sangat memberangsangkan kerana ayam herba bukan sahaja digunakan dalam makanan harian, malah majlis keramaian dan kenduri,” katanya.

Wan Azwande berkata, kesedaran orang ramai terhadap makanan berkhasiat dan menggunakan bahan organik semakin meningkat di negara ini. Sejak mula memasuki pasaran sebulan lalu, dia sudah menjual lebih 2,000 ayam kampung organiknya.

Katanya, harga ayam Royal Herba hampir sama seperti ayam biasa di pasaran iaitu RM8.50 sekilogram dan RM14 bagi yang sudah siap diproses.

Bermodalkan RM10,000 hasil simpanan peribadi, Wan Azwande kini berpuas hati apabila mampu meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan hasil jualan 1,000 ayam ternakannya.

Lebih penting, katanya, ternakan ayam Royal Herba menjadi harapannya bagi menyediakan kemudahan makanan halal untuk umat Islam di negara ini, seterusnya ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:01 AM