Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada FD Iskandar selepas mesyuarat dan lawatan kerja ke Media Prima di Stesen Penyiaran TV3, Sri Pentas, semalam.

Kuala Lumpur: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan barisan exco kerajaan negeri semalam mengadakan lawatan rasmi ke Media Prima Berhad (MPB) bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Ahmad Bashah tiba di Sri Pentas Bandar Utama dekat sini, jam 10.30 pagi, ditemani Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan Setiausaha Politik Menteri Besar Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Rombongan itu disambut pengurusan kanan MPB diketuai Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri FD Iskandar dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Ahmad Izham Omar.

Mereka diberikan taklimat korporat oleh pengurusan kanan MPB, sesi perbincangan antara kedua-dua pihak sebelum rombongan melawat ke konti Radio Hot FM dan Studio Berita TV3.

Ahmad Bashah berkata, itu kunjungan pertama beliau selepas dilantik Menteri Besar Kedah dan mengucapkan ribuan terima kasih atas sambutan diberikan.

“Kita berharap hubungan terjalin memberi kesan positif kepada kerajaan negeri melalui penyampaian maklumat bermanfaat bukan saja untuk rakyat Kedah sebaliknya di seluruh negara.

“Tahun ini juga tahun Discover Kedah 2016 yang menyediakan pelbagai program pelancongan. Melalui hubungan ini kita boleh bekerjasama dengan MPB menganjurkan program menarik minat golongan belia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:25 AM