ADIBA (dua dari kiri) raih gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia di Chai Nat, Thailand.
myMetro

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menaruh harapan acara basikal bukit (MTB) akan dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kejayaan Siti Nur Adiba Akma Mohd Fuad yang meraih gangsa dalam kategori remaja pada Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia di Chai Nat, Thailand, Sabtu lalu membuktikan pelumba negara mampu menguasai MTB di pentas Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Basikal Bukit PKBM Omar Saad mengharapkan acara basikal bukit akan tetap disenaraikan pada temasya dwitahunan itu.

“Menjadi harapan semua di Asia Tenggara supaya acara basikal bukit disenaraikan pada Sukan SEA 2017.

“Kejayaan Nur Adiba diha
rap menjadi pemangkin basikal bukit boleh dipertimbangkan semula,” katanya.

Sebelum ini Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan hanya acara trek dan lebuh raya dipertandingkan untuk acara berbasikal dengan MTB dalam proses rayuan.

Pelumba dari Kedah berusia 17 tahun itu mencatat masa 37 minit 19 saat, hanya ketinggalan 19 saat di belakang pelumba China He Guangji yang meraih perak pada perlumbaan sejauh 10.4 kilometer itu.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab menjelaskan kejayaan meraih gangsa membuktikan sukan MTB negara bergerak pada haluan tepat walaupun tidak menerima peruntukan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:53 AM